Padi ditenggelami banjir, petani rugi lebih RM500,000

Para petani di Kampung Luar, Gual Periok dan Tersang, Rantau Panjang hanya mampu berputih mata apabila tanamam padi berusia sebulan yang diusahakan mereka di atas tanah berkeluasan lebih 160 hektar ditenggelami banjir pada Sabtu.
Para petani di Kampung Luar, Gual Periok dan Tersang, Rantau Panjang hanya mampu berputih mata apabila tanamam padi berusia sebulan yang diusahakan mereka di atas tanah berkeluasan lebih 160 hektar ditenggelami banjir pada Sabtu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seramai 34 petani di Kampung Luar, Gual Periok dan Tersang di sini kerugian lebih RM500,000 selepas tanamam padi berusia sebulan yang diusahakan di atas tanah berkeluasan lebih 160 hektar ditenggelami banjir pada Sabtu.

Ianya susulan hujan lebat tanpa henti yang mengakibatkan limpahan air Sungai Golok naik dengan mendadak dan menenggelamkan tanaman tersebut.

Wakil petani, Azli Jaafar, 54, berkata, situasi itu menyebabkan mereka kerugian lebih RM500,000 yang merangkumi kos membajak; racun, sewa tanah dan padi benih.

"Sejujurnya kami petani di sini tidak menjangkakan banjir akan melanda kawasan sawah kerana biasanya masuk penghujung bulan Februari cuaca panas akan bermula.

"Namun situasi itu berbeza kali ini apabila banjir melanda diluar jangka," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Menurutnya, petani yang terlibat berharap kerajaan dapat menghulurkan bantuan bagi menampung kerugian yang dialami mereka.

Katanya, bantuan itu amat diperlukan bagi memastikan mereka dapat memulakan semula kerja-kerja menanam padi.

Sementara itu, Shaari Ismail, 70, berkata, air banjir mula memenuhi kawasan sawahnya secara mendadak sejak petang Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Ekoran air naik dengan cepat saya tidak sempat untuk menyelamatkan dua buah jentera pembajak dan pam yang turut ditenggelami banjir.

"Kawasan sawah saya ditenggelami air sedalam 1.8 meter," katanya.