Pertembungan PKR-Muda tidak sepatutnya berlaku

Zamil Najwah
Zamil Najwah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Zamil Najwah Arbain,48, menyifatkan pertembungan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin seharusnya tidak patut berlaku.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak mengetahui apa agenda Muda untuk kekal meletakkan calon di DUN berkenaan meskipun Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini telah mengumumkan parti mereka tidak akan meletakkan calon di mana-mana kerusi yang ditandingi calon Pakatan Harapan (PH).

"Pada saya memang tidak sukalah (Muda bertanding di Larkin), kita bersama rakan-rakan dalam PKR pun sebenarnya tidak tahu apa sebab mereka boleh letakkan calon di sini, walaupun pemimpin mereka dah maklum tidak bertanding jika ada calon PH.

"Tetapi kita meraikan demokrasi, tengok apa yang akan berlaku. Saya percaya di peringkat atas ada berlaku perbincangan sebab ini bukan 'level' saya untuk tentukan.

"Bila jadi juga macam ini, maknanya perbincangan itu mungkin tidak mencapai kata putus sebaiknya," katanya ketika ditemui selepas selesai Majlis Penamaan Calon DUN Larkin di Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan DUN Larkin akan menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon daripada PKR, Muda, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang calon Bebas.

Ia juga merupakan satu-satunya kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan ditandingi oleh PKR dan Muda yang merupakan gabungan dan rakan strategik PH.

Muda sebelum ini menyatakan minatnya untuk bekerjasama bersama gabungan PH dan ia juga direalisasi apabila komponen parti, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju menyerahkan beberapa kerusi yang ditandingi mereka kepada parti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ditanya mengenai gerak kerja jentera semasa kempen PRN Johor di DUN Larkin, Zamil Najwah berkata, pihaknya tidak akan bekerjasama kerana masing-masing adalah pencabar kerusi berkenaan.

"Benda ini sepatutnya tidak berlaku. Walaupun kita ada musuh yang sama, tetapi bila dia (Muda) letak calon di sini, kita dah berlawan. Saya pun tidak tahu sama ada mereka ini nak uji kekuatan ke macam mana.

"Kalau bab jentera kami dah berlawan, tidak mungkin mahu kongsi pula, kecuali kalau kita dalam satu gabungan yang sama," katanya.