Barcelona bukan pasukan pilihan

Aubameyang (tengah) meraikan jaringan bersama para pemain Barca lain selepas menjaringkan gol keempat pasukan ketika berdepan Napoli dalam saingan Liga Europa di Stadium Diego Armando Maradona. - Foto AFP
Aubameyang (tengah) meraikan jaringan bersama para pemain Barca lain selepas menjaringkan gol keempat pasukan ketika berdepan Napoli dalam saingan Liga Europa di Stadium Diego Armando Maradona. - Foto AFP
A
A
A

GERGASI La Liga, Barcelona melaungkan amaran kelab itu mengambil serius cabaran Liga Europa selepas menyingkirkan cabaran Napoli sekaligus mara ke pusingan 16 terbaik kejuaraan tahap dua kelab Eropah tersebut.

Malah menurut pengendali Barca, Xavi Hernandez, kelab Catalan itu akan memberikan persembahan terbaik dalam usaha mengembalikan imej pasukan tersebut yang terpalit pelbagai masalah sejak awal musim.

“Ya semua pertandingan penting, kami mengambil serius semua pertandingan yang dipertandingkan pada musim ini tidak terkecuali juga termasuk kejuaraan Liga Europa.

“Namun untuk Barcelona menjadi pilihan untuk memenangi kejuaraan Liga Europa? Sejujurnya pada tahap ini bagi saya tidak sama sekali.

“Sebenarnya kami dalam proses membina semula pasukan dan tumpuan kami adalah untuk terus bekerja keras dengan kerendahan hati.

“Ya, kami bermain permainan yang hebat, namun kelab baru berada di pusingan 16 setakat ini. Tiada apa-apa yang telah dimenangi sepenuhnya di sini,” kata Xavi.

Barcelona yang terikat 1-1 semasa berdepan jagoan Serie A semasa aksi di Camp Nou sebelum ini mempamerkan persembahan bertenaga apabila meloloskan diri ke pusingan 16 terbaik Liga Europa selepas mengatasi Napoli 4-2 di Stadium Diego Armando untuk mara dengan agregat 5-3.

Tampil ke Stadium Diego Armando Maradona selepas diikat jagoan Serie A itu di Camp Nou sebelum ini, Jordi Alba menghadirkan Barca pendahuluan pada minit kelapan sebelum Frenkie de Jong kemudiannya meletakkan sensasi Catalan itu lebih jauh di hadapan pada minit ke-13 selepas menterjemahkan hantaran daripada Ferran Torres.

Artikel Berkaitan:

Tuan rumah yang tidak mengalah kembali merapatkan jurang hasil sepakan penalti Lorenzo Insigne memberi harapan kepada skuad pimpinan Luciano Spalletti kembali bersaing, namun Gerard Pique kembali memastikan Barca berkelebihan dua gol pada minit ke-45 sebelum masing-masing menuju ke bilik persalinan untuk melengkapkan babak pertama.

Bersambung babak kedua, Barca terus garang apabila bekas penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang meledak gol keempat pelawat pada minit ke-59', bagi melebarkan lagi kedudukan, sebelum Matteo Politano mengurangkan defisit kepada dua gol pada minit ke-87.