Sanggup mengaku sudah nikah elak dicekup

Pasangan remaja itu ditemui di bilik belakang dan sedang tidur bersama
A
A

KULIM - Sepasang kekasih berusia 18 dan 14 tahun sanggup mengaku sudah bernikah untuk elak dicekup pejabat agama Islam dalam kejadian di sebuah rumah teres di Taman Teratai Indah, hari ini.

Bagaimanapun helah itu tidak berjaya apabila mereka ditangkap setelah kediaman diserbu Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) bersama empat penguat kuasa diketuai Anwar Sariffudin Mat Saad.

Anwar berkata, pihaknya menerima laporan orang awam sebelum membuat serbuan pada jam 4.30 petang.

"Kejadian berlaku di rumah lelaki berkenaan, di mana bapanya sedang terlantar sakit. Difahamkan, bapanya juga pernah melarang anaknya membawa kekasih ke rumah, bagaimanapun tidak diendahkan," katanya.

Menurut Anwar, ketika sampai di lokasi kejadian, PADK memperkenalkan diri sebelum membuat pemeriksaan.

"Ketika pemeriksaan, PADK menemui pasangan itu di bilik belakang dan sedang tidur bersama.

"Daripada siasatan awal, PADK mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang hubungan mahram. Remaja perempuan itu mengaku sudah tidak bersekolah manakala teman lelakinya bekerja di kedai makan di Tasik Kulim. Mereka dibawa ke balai polis IPD Kulim untuk membuat laporan tangkapan," katanya.

Beliau berkata, pasangan itu akan ditahan di bawah Seksyen 25(A) (B) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

Anwar turut meminta kerjasama orang awam untuk terus memberi maklumat agar maksiat dapat dicegah.

"PADK tidak akan berkompromi dan akan mendakwa mana-mana pasangan yang ditahan di mahkamah," katanya.