Penolong pegawai antidadah didakwa kes rasuah

Cik Ct Ashlida dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.
Cik Ct Ashlida dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penolong pegawai antidadah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan rasuah dengan mencadangkan syarikat adik dan miliknya untuk sesuatu program pada 2016 dan 2017 lalu.

Cik Ct Ashlida Che Mat Razali, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu penolong pegawai antidadah di Sepang telah menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan.

Dia didakwa terlibat mencadangkan nama syarikat yang dimiliki adik kandungnya bagi perkhidmatan makan, cenderahati dan banting untuk program ‘Family On Alert’ dengan harga sebanyak RM1,000.

Ia dibuat melalui permohonan pesanan tempatan yang mana berhubung dengan perkara tertuduh mempunyai kepentingan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sepang antara Februari hingga April 2017.

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa atas jawatan sama mendapatkan suapan iaitu terlibat dalam mencadangkan nama milikinya.

Cadangan itu adalah bagi pembekalan Perkhidmatan Program Institusi Pendidikan Bebas Dadah - Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS) Zon 1 di Kem Bina Negara Tanjung Rhu, Sepang berharga RM5,160.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada Mac hingga April 2016.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen sama dengan hukuman yang sama.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Rihaida membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.