Tiga pemilik premis hiburan, 33 pengunjung dikompaun RM36,000

Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM36,000 kepada tiga pemilik pusat hiburan dan 33 pengunjung yang didapati melanggar SOP dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis.
Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM36,000 kepada tiga pemilik pusat hiburan dan 33 pengunjung yang didapati melanggar SOP dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga pemilik pusat hiburan dan 33 pengunjung dikompaun RM36,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada Khamis.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, kesemua individu berkenaan dikompaun dalam Ops Khas Pematuhan SOP Covid-19 di sekitar ibu kota.

Menurutnya, semua pusat hiburan tersebut melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN 2021 yang masih berkuat kuasa.

"Kesemua pemilik premis telah dikenakan kompaun berjumlah RM1,000 setiap satu manakala seramai 33 pengunjung juga dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

"Jumlah keseluruhan kompaun yang telah dikeluarkan adalah sebanyak RM3,000 bagi pemilik premis manakala RM33,000 bagi pengunjung premis yang terlibat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, beliau berkata, polis telah mengeluarkan sebanyak 406 notis kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM406,000 ke atas pemilik dan pengunjung pusat hiburan di sekitar ibu kota sejak 1 Januari sehingga Khamis.

"Kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 APPPB yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan.

"Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan Wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama," ujarnya.

Artikel Berkaitan: