Pemilik syarikat didakwa terima rasuah RM630,000 tutup kes kematian

Mahenthiran (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah mencecah RM630,000 pada Jumaat.
Mahenthiran (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah mencecah RM630,000 pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas 16 pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM630,000 untuk menutup kes kematian seorang pekerja warga Bangladesh akibat Covid-19 tahun lalu.

C Mahenthiran, 51, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan utama dan pilihan dibaca di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut lapan pertuduhan utama, dia didakwa secara rasuah menerima suapan iaitu berjumlah RM630,000 secara pindahan wang dalam talian daripada seorang wanita berusia 51 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan menerusi akaun Ambank, Maybank, UOB Bank,

kepada akaun Affin Bank Syarikat MNAT Suria Enterprise milik tertuduh sebagai dorongan untuk membantu wanita itu daripada dikenakan tindakan dan menutup kes kematian pekerja dari Bangladesh, Uddin Bashir akibat Covid-19.

Ia juga sebagai dorongan untuk membayar gaji atau upah kepada seorang lelaki berusia 33 tahun, untuk mencari tanah kubur untuk Uddin, selain membayar pampasan kepada lelaki itu yang ditahan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Kesalahan didakwa dilakukan di Affin Bank cawangan Rawang, pada 4, 5, 19, 22, 24, Ogos dan 9 September 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan perlu dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan pertuduhan pilihan, dia didakwa telah memperdaya sehingga mendorong wanita itu menyerahkan jumlah wang sama dengan mempercayai bahawa tertuduh boleh membantu menutup kes kematian Uddin dan untuk tidak dikenakan tindakan daripada PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ia juga sebagai mempercayai bahawa tertuduh mahu membayar gaji atau upah kepada seorang lelaki untuk mencari tanah kubur Uddin selain membayar pampasan kepada lelaki itu dan membantu untuk menyelesaikan siasatan kes PDRM.

Wanita berkenaan tidak akan menyerahkan wang berkenaan jika tidak diperdaya sedemikian dalam kejadian di lokasi sama dan tarikh sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

“Jumlah itu adalah munasabah dengan mengambil kira semua kesalahan yang dipertuduhkan malah nilainya mencecah RM630,000,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Bernard Francis yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana dia perlu menanggung dua anak serta isteri yang perlu menjalani rawatan mental.

“Dia memberi kerjasama yang baik kepada SPRM sejak tahun lalu dan tidak pernah gagal untuk melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

“Ini menunjukkan anak guam saya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Rihaida membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh dikehendaki memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 25 Mac depan untuk sebutan semula kes.