Bekas wartawan kanan yakin mampu tawar khidmat terbaik di Larkin

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas wartawan kanan yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang yakin pengalamannya dalam sektor pentadbiran kerajaan mampu menawarkan perkhidmatan terbaik untuk penduduk di kawasan ditandinginya.

Beliau yang telah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar di beberapa kementerian sejak 2015 itu berkata, penglibatan dalam sektor berkenaan di samping pengalaman bekerja sebagai pengamal media sejak 1996 telah memberikan pendedahan terhadap selok-belok dalam pentadbiran negara.

Menurut Zulkifli, 44, yang juga Pengerusi Biro Kebajikan Perikatan Nasional (PN) Parlimen Johor Bahru berkata, beliau turut percaya bahawa penduduk di kawasan tersebut mempunyai harapan tinggi terhadap pemimpin yang dipilih untuk mewakili mereka.

“Sewaktu dalam media ini banyak kita belajar dan saya lihat banyak perkara atau lihat selok-belok jatuh bangun politik dan sebagainya.

"Jadi dari situ saya kutip segala pengalaman dan pengetahuan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Kerusi DUN Larkin yang sebelum ini disandang oleh Mohd Izhar Ahmad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan majoriti 8,590 undi merupakan antara kerusi panas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dengan ia bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Antara calon parti telah diumumkan ialah Dr Zamil Najwah Arbain daripada PKR, Hairi Md Shah yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor (UMNO), Rasid Abu Bakar (Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)) dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)).

Dalam pada itu, Zulkifli yang merupakan anak kelahiran Johor itu berkata, isu keperluan anak muda di kawasan tersebut merupakan antara perkara akan diberi perhatian untuk ditangani di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau yang juga memiliki sarjana dalam bidang komunikasi dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, aspek keperluan kesihatan dan kesejahteraan hidup bagi kumpulan penduduk berusia antara 30 hingga 40 tahun juga akan diperincikan untuk diberikan perhatian.

“Kalau kita mengambil iktibar daripada pembangunan bola sepak di Johor contohnya, kadang-kadang kita perlu berfikir di luar kotak ataupun kita perlu lakukan sesuatu yang bukan kebiasaan.

“Begitu juga kalau kita nak beri peluang pekerjaan contohnya atau nak melihat apa keperluan orang muda di Larkin. Jadi kita perlu melakukan sesuatu yang memiliki kapasiti atau spektrum yang besar.

“Jadinya, saya rasa itulah pendekatan yang kita perlu buat untuk golongan muda di Larkin. Kita perlu melakukan sesuatu yang drastik untuk kita capai satu tanda aras lebih baik,” ujarnya yang juga tidak pernah menyertai mana-mana parti di dalam negara sebelum ini.

Pada masa sama, beliau berkata, selari dengan dasar PN, beliau mahu memberikan tawaran politik baharu yang lebih inklusif dan berintegriti tanpa mengira kaum kepada penduduk di DUN tersebut.

“Dalam tawaran baharu yang kita bawa ialah semua anggota parti kita diwajibkan atau dimahukan untuk angkat sumpah integriti.

"Kita kena pastikan semua yang berada dalam parti ini adalah yang terbaik,” ujarnya yang juga sudah berkeluarga dan memiliki seorang cahaya mata.

Zulkifli pernah bertugas di beberapa organisasi media negara antaranya Bernama TV, RTM dan beberapa lagi media swasta.