KKM masih siasat punca kematian bayi dua bulan

Dr Noor Azmi (kanan) ketika memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada seorang murid di SK Wira pada Jumaat.
Dr Noor Azmi (kanan) ketika memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada seorang murid di SK Wira pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kes kecuaian kakitangan sebuah hospital yang didakwa menyebabkan kematian seorang bayi ketika dirawat di institusi perubatan terbabit pada Jumaat lalu, masih dalam siasatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, punca sebenar insiden tersebut sedang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Seperti dinyatakan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin sebelum ini, KKM sedang membuat siasatan berhubung insiden itu.

"Bila kita dapat maklumat daripada pihak pengurusan dan keputusan (siasatan) mengenainya, kita akan nyatakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja sempena Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan (SK) Wira di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Pada Khamis, keluarga bayi lelaki berkenaan dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital berkenaan.

Ibu mangsa, Rosilawati Ismail, 26, menjelaskan tindakan itu diambil sebagai pembelaan terhadap kematian anak tunggalnya, Muhammad Hilman Firdaus Muhammad Hilmi yang berusia dua bulan pada Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Noor Azmi berkata, pihaknya sudah melantik peguam dan menyerahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, hanya 58 kes dilaporkan melalui MySejahtera dilaporkan mempunyai kesan sampingan selepas menerima suntikan.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 57 kes membabitkan gejala ringan manakala satu lagi kes dikategorikan serius.

"Satu kes yang serius itu melibatkan seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit asma dan sudah banyak kali masuk hospital sebelum menerima vaksin.

"Rawatan juga sudah diberikan kepada kanak-kanak itu dan kes berkenaan sudah pulih," katanya.

Beliau turut memaklumkan sehingga Khamis, seramai 710,000 kanak-kanak layak sudah menerima suntikan vaksin dos pertama mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan.

Katanya, negeri Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang mencatatkan jumlah penerima suntikan vaksin tertinggi.

"Tiga negeri yang merekodkan jumlah terendah kanak-kanak menerima suntikan vaksin di bawah 10 peratus iaitu Sabah, Terengganu dan Kelantan.

"Ia berpunca daripada sikap ibu bapa, mereka masih bersikap tunggu dan lihat serta bimbang dengan kesan sampingan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya ibu bapa memperolehi maklumat tepat dan tidak terlalu mendengar atau mempercayai khabar angin berhubung kesan sampingan vaksin.