Barcelona lepasi halangan Napoli

Pique meraikan jaringan bersama para pemain Barcelona.
Pique meraikan jaringan bersama para pemain Barcelona.
A
A
A

GERGASI La Liga, Barcelona mempamerkan persembahan bertenaga apabila meloloskan diri ke pusingan 16 terbaik Liga Europa selepas mengatasi Napoli 4-2 untuk mara dengan agregat 5-3.

Tampil ke Stadium Diego Armando Maradona selepas diikat jagoan Serie A itu di Camp Nou sebelum ini, Jordi Alba menghadirkan Barca pendahuluan pada minit kelapan.

Frenkie de Jong kemudiannya meletakkan sensasi Catalan itu lebih jauh di hadapan pada minit ke-13 selepas menterjemahkan hantaran daripada Ferran Torres.

Tuan rumah yang tidak mengalah kembali merapatkan jurang hasil sepakan penalti Lorenzo Insigne memberi harapan kepada skuad pimpinan Luciano Spalletti kembali bersaing.

Namun Gerard Pique kembali memastikan Barca berkelebihan dua gol pada minit ke-45 sebelum masing-masing menuju ke bilik persalinan untuk melengkapkan babak pertama.

Bersambung babak kedua, Barca terus garang apabila bekas penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang meledak gol keempat pelawat pada minit ke-59', bagi melebarkan lagi kedudukan, sebelum Matteo Politano mengurangkan defisit kepada dua gol pada minit ke-87.

Sementara itu, gergasi Scotland, Rangers turut menyertai Barca biarpun mencatat keputusan seri 2-2 di Stadium Ibrox menentang Borussia Dortmund untuk mara dengan agregat 6-2.

Satu lagi kelab La Liga, Real Betis turut mara apabila mengikat Zenit St Petersburg tanpa jaringan di Stadium Benito Villamarín untuk menang dengan agregat 3-2.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, juara enam kali Sevilla dipaksa berpeluh sebelum mara apabila tewas 1-0 kepada Dinamo Zagreb di Stadium Maksimir, sebelum mara dengan agregat 3-2.

Kelab Portugal, FC Porto juga terpaksa mengharungi masa tambahan untuk mara apabila melakar keputusan seri 2-2 berdepan Lazio untuk melepasi agregat 4-3 di Stadium Olimpico.

Turut mara wakil Bundesliga, RB Leipzig yang menang 3-1 ke atas Real Sociedad di Reale Arena untuk mara dengan agregat 5-3 manakala Atalanta menewaskan Olympiakos 3-0 untuk melengkapkan kemenangan agregat 5-1.

KEPUTUSAN

Dinamo Zagreb 1-0 Sevilla

(Sevilla menang agregat 3-2)

Real Sociedad 1-3 RB Leipzig

(Leipzig menang agregat 5-3)

Lazio 2-2 FC Porto

(Porto menang agregat 4-3)

Napoli 2-4 Barcelona

(Barcelona menang agregat 5-3)

Real Betis 0-0 Zenit St Petersburg

(Betis menang agregat 3-2)

Rangers 2-2 Dortmund

(Rangers menang agregat 6-4)

Atalanta 3-0 Olympiakos

(Atalanta menang agregat 5-1)

Braga 2-0 Sheriff

(Braga-Sheriff 2-2, Braga menang penentuan sepakan penalti 3-2)