Pastikan si kecil selamat

Pengasuh perlu sedar tanggungjawab bagi memastikan si kecil berada dalam keadaan sihat di bawah jagaan mereka. - Foto 123rf
Pengasuh perlu sedar tanggungjawab bagi memastikan si kecil berada dalam keadaan sihat di bawah jagaan mereka. - Foto 123rf
A
A
A

ISU kecuaian, pengabaian dan penderaan bayi serta kanak-kanak oleh pengasuh, taman asuhan kanak-kanak (taska) serta pusat jagaan sering berlaku.

Ia bagaikan tiada kesudahan walaupun pelbagai langkah dan nasihat telah diberikan untuk mencegah serta menanganinya.

Lebih meruntun hati apabila anak yang diberikan amanah untuk dijaga, dihantar dalam keadaan sihat tetapi pulangnya sudah tidak bernyawa atau mengalami kecederaan.

Bagi ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke rumah pengasuh, pastinya persoalan sama ada anak mereka diasuh dengan baik akan berlegar-legar di fikiran.

Namun, untuk memeriksa setiap jam tentunya mustahil. Mereka hanya mampu berserah dan bertawakal agar si kecil dalam keadaan baik sepanjang di bawah penjagaan pengasuh atau taska.

Antara kecuaian pengasuh yang kerap dilaporkan ialah bayi tersedak susu, tercekik makanan, terjatuh dari tempat tinggi, terlilit tali buaian, lemas dalam besen air dan bayi terlepas daripada pegangan, selain isu penderaan atau pencabulan.

Terbaharu, pada Selasa, seorang bayi perempuan berusia 15 bulan disahkan meninggal dunia, dipercayai selepas kepalanya tersangkut pada kain buaian di pusat jagaan kanak-kanak di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Benar, ajal dan maut di tangan Tuhan. Kepada ibu bapa, berhati-hatilah memilih pengasuh. Selidik latar belakang mereka dan minta rujukan jika perlu.

Artikel Berkaitan:

Pilih pusat penjagaan kanak-kanak yang didaftar dengan penjaga terlatih. Paling penting, elak mencari pengasuh saat-saat akhir.

Sementara itu, bagi pengasuh pula, mereka perlu sedar tanggungjawab sebagai pengasuh amat berat dan penting bagi memastikan si kecil berada dalam keadaan sihat di bawah jagaan mereka.

Masa berkualiti bersama anak yang dijaga kadang-kala lebih panjang berbanding bersama ibu bapa.

Penting untuk mereka mendapatkan ilmu keibubapaan menerusi kursus anjuran agensi tertentu dan mendaftarkan rumah jagaan mereka apabila bilangan anak asuhan meningkat kepada empat orang.

Sesungguhnya, kehilangan anak tersayang dalam sekelip mata amat berat untuk diterima. Jangan pandang remeh kerana nyawa yang hilang tidak boleh ditukar ganti.