Elak aib lebih dahsyat

Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara mendapat pengajaran cukup berguna pada Kejuaraan AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja baru-baru. Foto: SPORTFLEX
Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara mendapat pengajaran cukup berguna pada Kejuaraan AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja baru-baru. Foto: SPORTFLEX
A
A
A

SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara mendapat pengajaran cukup berguna selepas tampil dengan aksi hambar sehingga gagal melayakkan diri ke pusingan separuh akhir pada Kejuaraan AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja baru-baru ini.

Tanpa beberapa tonggak utama yang diketepikan dalam tugasan kali ini, skuad kendalian Brad Maloney itu terpaksa akur pulang awal selepas gagal melepasi peringkat kumpulan apabila tewas dalam dua aksi menentang Laos.

Melihatkan prestasi buruk anak-anak buah Maloney yang tumbang kedua-dua perlawanan di tangan Laos, ramai menjangkakan Harimau Muda bakal menjadi mangsa belasahan pada pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun depan.

SATHIANATHAN
SATHIANATHAN

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, Maloney dan barisan kejurulatihan skuad B-23 negara harus 'belajar sesuatu' atas kegagalan di Kemboja bagi mengelak aib lebih besar di Uzbekistan.

“Sudah tentu apa yang berlaku di Kemboja menjadi pengajaran terbaik kepada pemain-pemain muda negara. Keputusan itu satu perkara yang harus diambil perhatian tetapi yang lebih penting pendedahan dalam aksi antarabangsa.

“Saya percaya penyokong tidak mahu pasukan negara menjadi mangsa belasahan pada Piala Asia nanti. Jadi saya harap apa yang berlaku di Kemboja memberikan satu 'wake up cal'l kepada pasukan negara untuk beraksi lebih baik di Uzbekistan.

“Di sana nanti, mereka akan menentang pasukan lebih kuat seperti Korea Selatan. Disebabkan itu, pasukan negara harus lebih bersedia jika tidak mahu menerima keputusan lebih buruk apabila berdepan pasukan seperti Korea Selatan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Pada pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 nanti, tugas sukar menanti Malaysia apabila bakal berdepan juara edisi 2020, Korea Selatan selain dua gergasi dari Asia Tenggara – Thailand dan Vietnam dalam saingan Kumpulan C.

Mengulas prestasi hambar skuad B-23 negara di Kemboja, Sathianathan berkata, anak-anak buah Maloney tidak harus dipersalahkan sepenuhnya biarpun rentak permainan mereka tampak serba tidak menjadi dalam dua pertemuan menentang Laos.

“Pada pendapat saya, ramai sebenarnya yang tidak tahu sasaran skuad B-23 negara adalah Sukan SEA dan semestinya Piala Asia Jun nanti. Sebab itulah pada Kejuaraan AFF kali ini, ramai pemain baharu yang ditampilkan.

“Kalau semua kejohanan mesti nak jadi juara, selepas ini lebih baik hanya pasukan terkuat dan dibarisi pemain-pemain hebat sahaja dihantar. Masa itu juga sepatutnya tidak ada lagi istilah pendedahan kerana sasaran hanyalah untuk jadi juara,” jelasnya.

Pada masa sama, Sathianathan yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan mengakui pelik dengan kecaman yang dilontarkan banyak pihak khususnya penyokong tempatan atas kegagalan anak-anak buah Maloney pada Kejuaraan AFF kali ini.

“Sebelum ini, semua puji Maloney dan pasukan negara apabila mereka melepasi Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia sebagai juara Kumpulan J. Ada pula yang kata dia sebagai calon untuk jadi jurulatih skuad senior setelah peletakan jawatan Tan Cheng Hoe.

“Memanglah ketika itu corak permainan Malaysia cantik. Semuanya cantik bermula daripada hantaran bola, kawalan bola, penguasaan bola semuanya cantik. Tapi hari ini, mengapa pula Maloney dicemuh dengan pelbagai kecaman?

“Bagi saya ini tidak adil kepada Maloney dan pemain-pemain muda negara. Jadi sebaik-baiknya kita tunggu prestasi sebenar mereka pada Piala Asia di Uzbekistan nanti. Selepas itu, baru kita nilai kemampuan pasukan muda negara ini,” ujarnya.