Permintaan kit ujian kendiri tinggi punca bekalan terganggu

Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 sukar didapati dalam pasaran sejak peningkatan kes wabak tersebut selepas Tahun Baharu Cina.
Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 sukar didapati dalam pasaran sejak peningkatan kes wabak tersebut selepas Tahun Baharu Cina.
A
A
A

SHAH ALAM - Permintaan kit ujian kendiri Covid-19 yang tinggi terutamanya ketika peningkatan kes wabak tersebut meningkat menjadi faktor kekurangan produk tersebut dalam pasaran.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, stok bekalan kit ujian kendiri dalam negara sebanyak 18 juta unit dan jumlah tersebut mencukupi dalam keadaan biasa.

Namun berdasarkan maklum balas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, walaupun tiada aduan diterima pihak terbabit berkaitan kekurangan kit ujian tersebut setakat Isnin, namun permintaannya meningkatkan atas beberapa faktor.

"Bila kes meningkat, permintaannya juga melonjak terutamanya apabila banyak ujian calitan dilakukan seperti di sekolah atau majlis-majlis keraian.

"Situasi itu menyebabkan berlakunya permintaan mendadak terhadap produk berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, pengeluaran kit ujian kendiri Covid-19 oleh kilang tempatan akan dipertingkatkan untuk mengatasi kekurangan bekalan produk berkenaan dalam pasaran.

Ujarnya, pihak KPDNHEP Putrajaya telah menghubungi pihak pengilang tempatan dan mereka akan mempertingkatkan pengeluaran ujian kit Covid-19.

Selain itu, pengimport juga dijangka menerima bekalan dari China dalam masa seminggu ke tiga minggu lagi kerana terdapat kelewatan kemasukan stok akibat cuti perayaan di negara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan terhadap sejumlah 1,220 premis yang diperiksa sejak September 2021 sehingga 21 Februari 2022 oleh KPDNHEP Selangor, terdapat sejumlah 244,254 unit alat ujian kendiri dipasarkan untuk kegunaan pengguna di sekitar Selangor.

"Jumlah bekalan sedia ada di pasaran Selangor pula pula adalah sejumlah 37,765 unit.

"Tentu sekali penambahan bekalan alat ujian kendiri ini akan dilaksanakan dari masa ke semasa oleh peruncit bagi tujuan membekalkan dan memenuhi permintaan pengguna dalam situasi semasa," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian meninjau beberapa buah farmasi di Kota Kemuning, Seksyen 32, di sini pada Ahad mendapati bekalan kit ujian tersebut semakin berkurang sejak beberapa minggu lalu.

Hasil tinjauan terhadap orang ramai turut mendapati mereka sukar untuk mendapatkan bekalan produk berkenaan di pasaran sejak peningkatan kes Covid-19 selepas Tahun Baharu Cina baru-baru ini.