Warta Hutan Simpan Sungai Lembing elak pencerobohan

Kawasan hutan milik kerajaan berhampiran Kampung Kolong Pahat, Sungai Lembing yang diceroboh sebelum ini, telah diluluskan untuk diwartakan sebagai Hutan Simpan Sungai Lembing. - Foto JPNP
Kawasan hutan milik kerajaan berhampiran Kampung Kolong Pahat, Sungai Lembing yang diceroboh sebelum ini, telah diluluskan untuk diwartakan sebagai Hutan Simpan Sungai Lembing. - Foto JPNP
A
A
A

KUANTAN - Tanah milik kerajaan seluas 38.68 hektar berhampiran Kampung Kolong Pahat, Sungai Lembing di sini telah diluluskan untuk diwartakan sebagai Hutan Simpan Sungai Lembing.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, keputusan itu dibuat kerajaan negeri pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang 26 Januari lalu di bawah Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

Menurutnya, Hutan Simpan Sungai Lembing Hutan Simpan Sungai Lembing terbahagi kepada dua kawasan yang masing-masing seluas 15.98 hektar dan 22.7 hektar.

Katanya, pada mesyuarat MMK terbabit, semua pihak bersetuju untuk menolak mana-mana permohonan yang berlapis dengan kawasan dimohon itu.

Mohd Hizamri berkata, pewartaan itu sekali gus memberi kuasa kepada JPNP untuk menyelia serta menguruskan kawasan terbabit daripada dicerobohi sebarang aktiviti tanpa kebenaran.

"Malah individu yang berada dalam kawasan berkenaan tanpa permit juga boleh didakwa.

"Pada masa sama, aktiviti perhutanan semula terhadap kawasan tersebut juga akan dilaksanakan," katanya bagi mengulas berhubung operasi operasi penguatkuasaan bersepadu di kawasan itu, pada Isnin lalu.

Dalam operasi itu, lebih 200 pokok durian Musang King berusia empat hingga lima tahun telah dimusnahkan.

Artikel Berkaitan:

Operasi disertai anggota penguat kuasa JPNP, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dan Unit Penguat kuasa Negeri Pahang (UPNP).

JPNP akan menanam 3,000 pokok balak berkualiti tinggi di kawasan itu dalam usaha memulihara Hutan Simpan Sungai Lembing itu.