Kemasukan PATI warga Myanmar meningkat

Mat Shukor menunjukkan individu yang ditangkap dalam sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu berkenaan.
Mat Shukor menunjukkan individu yang ditangkap dalam sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu berkenaan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA 8) sedang giat mengesan faktor yang menyebabkan jumlah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya daripada Myanmar di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok meningkat sejak awal tahun ini.

Pegawai Pemerintah PGA8, Superitendan Mat Shukor Yusof berkata, kemasukan PATI Myanmar sebelum ini kebanyakan daripada kawasan selat Melaka.

"Kemasukan melalui sempadan Sungai Golok ini adalah merupakan cara terbaharu mereka dan kita sedang membuat kajian faktor-faktor yang menjadi penyebab kenapa mereka menggunakan laluan ini.

"Kita juga giat berkolaborasi dengan pihak berkuasa Thailand kerana kita tidak mahu ia menjadi trend selepas ini," katanya kepada pemberita di Sidang media Ops Wawasan Kelantan Markas Taktikal Lubok Stol, di sini pada Selasa.

Menurutnya, bermula awal tahun ini sehingga 21 Februari, seramai 99 individu warga Myanmar berjaya diberkas pihaknya melalui beberapa tangkapan termasuk kanak-kanak.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan ia melibatkan sindiket kemasukan PATI menerusi Songkla, namun siasatan lanjut masih giat dijalankan kedua-dua pihak.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan faktor muka bumi menjadi salah satu faktor mereka mudah loloskan diri memandangkan sempadan ini hanya dipisahkan dengan sebatang sungai.

"Pembukaan sempadan pun dijangka tidak memberi kesan kepada aktiviti ini sebab mereka tetap menggunakan laluan haram untuk masuk ke Malaysia, kecuali mereka memalsukan dokumen, baru mereka boleh masuk melalui pintu biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan, pihaknya berjaya menahan sembilan individu dalam satu sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu jam 11.15 pagi Isnin.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati empat individu termasuk seorang kanak-kanak adalah berstatus warganegara Malaysia namun lima individu lain adalah warganegara Thailand dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain seorang daripada mereka memiliki pasport yang tamat tempoh.

"Tangkapan kedua pula dilakukan di lokasi dan hari yang sama iaitu pada jam 11.20 pagi dengan penahanan sebuah kereta dari arah Rantau Panjang menuju ke Panglima Bayu.

"Hasil siasatan mendapati seorang wanita tempatan manakala dua lelaki adalah berstatus warganegara China dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Mereka semua diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut," katanya.