PATI warga Myanmar ditahan ketika tunggu bas

PATI yang ditahan di ruang menunggu di Stesen Bas Bandar Tasek Raja, Pasir Mas pada Khamis.
PATI yang ditahan di ruang menunggu di Stesen Bas Bandar Tasek Raja, Pasir Mas pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga wanita di ruang menunggu di Stesen Bas Bandar Tasek Raja, Pasir Mas pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, kesemua mereka ditahan kira-kira jam 4.30 petang oleh sepasukan polis dari Balai Polis Pasir Mas.

Menurut beliau, siasatan mendapati kesemua mereka merupakan warga Myanmar berusia antara 16 hingga 46 tahun.

"PATI itu mengaku memasuki Malaysia melalui sungai dengan menaiki sampan untuk mencari pekerjaan.

"Ketika pemeriksaan, mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau, kesemua tangkapan direman selama 14 hari bermula Khamis di bawah Seksyeb 51 (3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

"Mereka kini berada di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemasukan PATI atau sebarang aktiviti yang mencurigakan boleh menyalurkannya di mana- mana balai polis berhampiran untuk tindakan pencegahan.