Bintara Kanan Maritim didakwa 80 tuduhan terima suapan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas 80 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM21,750 dari 2017 hingga 2019.

Azmawi Zakaria, 47, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan Bintara Kanan Maritim di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah telah menerima suatu benda yang berharga iaitu wang berjumlah RM21,750 daripada seorang individu.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Wisma Jelutong George Town, antara 16 November 2017 hingga 30 Mei 2019 dan Azmawi mengetahui individu itu mempunyai hubungan rasmi dengan jawatannya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohamad Fauzee Azizan mencadangkan ikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar dengan satu kes tertuduh lain yang sedang berjalan di mahkamah itu kerana melibatkan saksi pendakwaan yang sama.

Peguam P Taneswaran dan Yuvanes Taruman yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin RM10,000 atas alasan tertuduh memberi kerjasama yang baik dan isteri tertuduh hadir ke mahkamah untuk menjadi penjamin.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim turut membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 24 Februari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: