[VIDEO] Kerajaan dalam proses semak, kaji semula kadar gaji minimum

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan sedang dalam proses melakukan semakan dan kajian semula kadar bayaran gaji minimum selaras dengan Akta Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pada masa ini, kadar gaji minimum di Malaysia adalah sebanyak RM1,200 sebulan di kawasan Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran.

Katanya, bagi kawasan lain, kadar semasa gaji minimum yang telah berkuatkuasa sejak tahun 2020 adalah sebanyak RM1,100.

“Walaupun semakan kasar terhadap gaji minimum ini belum diputuskan dan dimuktamadkan kerajaan, terdapat majikan yang mula membayar gaji minimum pada kadar RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Saravanan pada 5 Februari lalu dilaporkan berkata, pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Menurutnya, walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, Saravanan turut melahirkan penghargaan kepada AEON CO. (M) BHD dan Westports Holdings yang telah menawarkan gaji pada kadar RM1,500 kepada pekerjanya.

Menurut beliau, kedua-dua majikan itu menunjukkan contoh yang baik dengan keprihatinan mereka terhadap permasalahan pekerja walaupun dengan keadaan ekonomi yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga ingin menyeru kepada majikan lain agar mengambil contoh pendekatan syarikat AEON CO. (M) BHD dan Westports Holdings, dan berusaha menawarkan gaji pekerja pada kadar yang melebihi gaji minimum sedia ada,” ujarnya.

Perintah Gaji Minimum 2020, Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) menyatakan kadar gaji minimum perlu dibayar kepada pekerja dalam mana-mana kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran adalah sebanyak RM1,200 sebulan, RM46.15 sehari (enam hari bekerja dalam seminggu), RM55.38 sehari (lima hari) dan RM69.23 sehari (empat hari), manakala bayaran setiap jam adalah RM5.77.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020 semasa pembentangan Bajet 2020 dengan jumlah kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan.