Kerajaan selami keluhan rakyat

Kerajaan melancarkan Program SemarakNiaga Keluarga Malaysia pada Isnin dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion bagi memperbanyakkan akses pembiayaan kepada usahawan.
Kerajaan melancarkan Program SemarakNiaga Keluarga Malaysia pada Isnin dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion bagi memperbanyakkan akses pembiayaan kepada usahawan.
A
A
A

PELBAGAI bantuan terus disalurkan kerajaan, sama ada tunai atau subsidi khususnya kepada rakyat dan segmen perniagaan yang terkesan susulan pandemik sejak dua tahun lalu.

Malah, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan termasuk menyediakan geran bantuan bagi meningkatkan pendapatan dan mengekalkan pekerjaan rakyat.

Terbaharu, kerajaan melancarkan Program SemarakNiaga Keluarga Malaysia pada Isnin dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion bagi memperbanyakkan akses pembiayaan kepada usahawan terutama pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor informal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan golongan usahawan.

Selain itu, kerajaan juga peka terhadap keperluan bagi perniagaan mikro dan kecil untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan dengan kadar faedah rendah.

Justeru, Ismail Sabri berkata, melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM), ia membolehkan usahawan membuat pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah kosong peratus dengan memberi keutamaan kepada peniaga sektor informal.

“Bagi usahawan agromakanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75,000 pada kadar kosong peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan,” ujar beliau.

Usaha kerajaan membantu usahawan tidak hanya tertumpu kepada perusahaan kecil sahaja apabila institusi kewangan seperti SME Bank turut menawarkan pinjaman bagi perniagaan lebih matang sehingga RM10 juta di bawah skim Dana Promosi IBS 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0 (YEF 2.0) melibatkan dana keseluruhan berjumlah RM300 juta.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri turut menyifatkan Program SemarakNiaga Keluarga Malaysia akan menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan melalui sektor kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan dan bantuan bayaran balik pinjaman terutama ketika fasa pemulihan pasca pandemik.

Pelancaran program berkenaan sudah tentu memberikan kelegaan dan nafas baharu kepada lebih 192,541 usahawan PKS yang terjejas berdasarkan data Persatuan PKS Malaysia pada September tahun lalu untuk terus berdaya saing.

Tidak hanya fokus membantu sektor perniagaan, kerajaan juga melancarkan JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 pada Sabtu lalu dengan memberi tumpuan tiga program utama bagi menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini.

Program yang memperuntukkan RM4.8 bilion itu merangkumi Inisiatif Penggajian, Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).

Perdana Menteri berkata, insentif penggajian akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan menyasarkan 300,000 peluang pekerjaan, manakala program MySTEP menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik.

“Program Upskill Malaysia akan dilaksanakan oleh Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp), menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dan menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 orang pelatih,” kata beliau.

Insentif penggajian itu akan memberi tumpuan kepada usaha merangsang majikan untuk membuat pengambilan pekerja terutama dalam kalangan individu tidak aktif bekerja seperti penganggur dan golongan rentan – orang kurang upaya (OKU), bekas banduan, warga emas dan wanita menganggur bagi memastikan tiada golongan dipinggirkan.

Melalui inisiatif itu, pastinya pengangguran negara mampu ditangani apabila jumlah penganggur di Malaysia menunjukkan pengurangan di bawah paras 700,000 orang buat pertama kali sejak April 2020.

Berdasarkan Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Januari lalu, kadar pengangguran November 2021 direkodkan pada 4.3 peratus melibatkan 694,400 penganggur, berbanding 705,000 orang pada Oktober tahun lalu.

Diharap dengan pelancaran dua inisiatif itu mampu mengembalikan semula ekonomi negara dan membantu rakyat menempuh hari-hari mendatang.

* Zubir Sulaiman ialah Editor Pengisian Sinar Harian