SemarakNiaga bukti MOF peka bantu perniagaan bangkit semula

Kementerian Kewangan
Kementerian Kewangan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion yang dilancarkan pada Isnin bagi membantu sektor perniagaan untuk bangkit semula adalah tindak balas Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan ekonomi kekal berdaya tahan dalam jangka sederhana dan panjang.

"MOF sentiasa peka dan responsif bagi memastikan negara berada di landasan pemulihan ekonomi yang kukuh dan MOF juga kekal fokus kepada kebertanggungjawaban fiskal dan pelaksanaan reformasi struktur yang strategik bagi memastikan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, SemarakNiaga menyediakan peruntukan terbesar bagi PKS Mikro berbanding tahun-tahun lepas iaitu sebanyak RM1.8 bilion bagi Pinjaman Kredit Mikro dan turut memberi Kemudahan dan solusi inovatif yang diperkenalkan buat julung kalinya dalam Bajet 2022 iaitu Pembiayaan Ekuiti/Alternatif bernilai RM2.2 bilion.

SemarakNiaga turut memperuntukkan pinjaman Mudah PKS dengan dana keseluruhan bernilai RM14.2 bilion disediakan dan Jaminan Pembiayaan bernilai RM22.0 bilion termasuk RM2.0 bilion khusus untuk syarikat Bumiputera, katanya.

Kemudahan pinjaman kredit mikro ini boleh dipohon melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, Agrobank dan bank-bank komersial, manakala bagi Pinjaman Mudah PKS, permohonan boleh dibuat menerusi bank-bank komersial tempatan, Agrobank, Bank Pembangunan Malaysia Bhd, Permodalan Usahawan Nasional Bhd, SME Bank dan MIDF.

"Bagi kemudahan dan solusi inovatif, permohonan boleh dibuat melalui pelaburan ekuiti dan separa ekuiti melalui SME Bank dengan kerjasama TERAJU dan Bank Simpanan Nasional, serta BPMB dan bank-bank komersial tempatan,” menurut MOF.

Selain itu, RM80 juta diperuntukkan bagi kaedah pendanaan awam ekuiti dan pembiayaan antara rakan setara secara geran padanan melalui Malaysia Co-Investment Fund.

"Bagi jaminan pembiayaan, permohonan boleh dibuat kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd,” katanya.

Artikel Berkaitan:

MOF turut menyeru Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) hingga syarikat tersenarai awam untuk merebut pelbagai peluang dan manfaat yang telah diperuntukkan oleh kerajaan.

Inisiatif SemarakNiaga dan penciptaan pekerjaan merupakan dua tonggak utama Bajet 2022 ke arah pemulihan ekonomi yang akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022. - Bernama