MAFI bantu lebih 500 pengusaha tembikai ditenggelami air

Nik Muhammad Zawawi (kiri) menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin di Perkarangan Pejabat Ahli Parlimen Pasir Puteh pada Isnin.
Nik Muhammad Zawawi (kiri) menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin di Perkarangan Pejabat Ahli Parlimen Pasir Puteh pada Isnin.
A
A
A

PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membantu lebih 500 petani di Pasir Puteh dan Bachok yang mengalami kerugian selepas tanaman tembikai diusahakan mereka munsah ditenggelami air akibat hujan lebat selama beberapa hari pada 15 Februari lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, buat masa ini pihaknya sedang membuat taksiran kerugian sebenar dialami oleh kesemua petani terlibat yang mengusahakan tanaman itu di atas tanah berkeluasan lebih 400 hektar.

"Bachok dan Pasir Puteh merupakan pengeluar utama tembikai di negara ini. Saya juga difahamkan tembikai yang diusahakan itu dibuat dalam skala lebih besar berbanding sebelum ini sejak Covid-19," katanya selepas menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin di pekarangan Pejabat Ahli Parlimen Pasir Puteh di sini, pada Isnin.

Seramai 300 penerima sumbangan terdiri dari golongan B40 yang merupakan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) iaitu PPK Tiga Daerah; PPK Bukit Awang, PPK Semerak dan petugas barisan hadapan.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Nik Mohd Shahril Nik Md Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ismail.

Menurutnya, bentuk mekanisme bantuan yang akan diberikan kepada petani tersebut sedang dikenali sama ada sumbangan kewangan dan peralatan atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, peruntukan bantuan itu dari Tabung Bencana MAFI.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, kerajaan sentiasa prihatin dalam membela nasib petani yang merupakan pembekal utama sumber makanan negara.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 16 Febuari lalu melaporkan lebih 100 pengusaha tembikai di kawasan Kandis berputih mata apabila hasil tanaman mereka musnah selepas ditenggelami air akibat hujan lebat berterusan.