RISDA lahirkan usahawan berjaya

Mahdzir (tiga, kanan) bersama Mohd Salim (dua, kanan) dan Abdullah (kanan) bergambar selepas menyempurnakan gimik pelancaran Kelab Generasi Muda Pekebun Kecil pada majlis berkenaan.
Mahdzir (tiga, kanan) bersama Mohd Salim (dua, kanan) dan Abdullah (kanan) bergambar selepas menyempurnakan gimik pelancaran Kelab Generasi Muda Pekebun Kecil pada majlis berkenaan.
A
A
A

SEGAMAT - "Saya tidak akan berjaya seperti hari ini jika bukan kerana bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), semestinya ini satu kebanggaan walaupun saya hanya anak kampung yang dibesarkan dengan hasil getah" kata Azahari Abdul Jamal, 43.

Azahari merupakan usahawan bimbingan RISDA yang mengusahakan perniagaan kraftangan dan perabot daripada kayu- kayu terbuang memaklumkan, faktor utama kejayaanya sejak melakukan perniagaan itu adalah selepas dia menerima bantuan anak pekebun kecil untuk membesarkan bengkelnya.

"Saya memulakan perniagaan ini pada tahun 2016, ketika itu hanya di rumah sebelum saya didatangi pegawai RISDA yang menyatakan perniagaan ini mempunyai potensi untuk dilebarkan. Mereka memberikan saya bimbingan dan kriteria bagaimana untuk memohon.

"Selepas cukup syarat, saya cuba memohon dan ketika itu saya memohon RM10,000 sahaja, tetapi rezeki RISDA meluluskan dana sebanyak RM20,000 yang mana saya gunakan untuk membeli peralatan dan meluaskan bengkel saya, semuanya bermula dari situ," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Pekebun Kecil Makmur RISDA Negeri Johor di Labis di sini, pada Jumaat.

Azahari (kiri) bergambar bersama Mahdzir (dua,kiri) dan para tetamu kehormat di atas perabot yang dihasilkannya pada majlis itu.
Azahari (kiri) bergambar bersama Mahdzir (dua,kiri) dan para tetamu kehormat di atas perabot yang dihasilkannya pada majlis itu.

Azahari yang juga anak keempat daripada lapan beradik itu memberitahu, idea asal perniagaannya itu tercetus apabila dia sering mengikut bapanya ke ladang getah.

"Rezeki saya sekeluarga memang dari getah ini. Daripada kecil hingga besar saya ikut ayah ke ladang, jadi di sini saya melihat kayu-kayu terbiar orang panggil kayu hanyut ini. Saya cuba dan akhirnya jadikan sebagai kraftangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anak jati Kampung Air Panas, Labis itu juga menjelaskan selain daripada pasaran tempatan produknya juga berjaya menerima tempahan daripada pelanggan di luar negara.

"Bila sampai di peringkat ini, saya banyak juga terlibat dengan program-program antarabangsa seperti Kraf Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dari sini saya dapat permintaan dari Jepun dan China.

"Tidak rugi jadi anak pekebun kecil dan bersama RISDA, bukan sahaja berikan dana, mereka juga menyediakan bimbingan untuk usahawan-usahawan seperti kami," katanya.

Sementara itu, pada majlis itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar turut mengumumkan peruntukan kepada komuniti pekebun kecil terutama golongan muda dan wanita menerusi inisiatif Kelab Generasi Muda RISDA (KGMR) dan Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK).

Peruntukan itu adalah melibatkan jumlah sebanyak RM20,000 disalurkan kepada KGMR setiap negeri dan RM565,800 untuk keseluruhan PWPK di Negeri Johor.

Muhammad Azlan (empat,kanan)menunjukkan mokcek yang diterima sebagai wakil Kelab Generasi Muda Pekebun Kecil pada majlis berkenaan.
Muhammad Azlan (empat,kanan)menunjukkan mokcek yang diterima sebagai wakil Kelab Generasi Muda Pekebun Kecil pada majlis berkenaan.

Wakil Kelab Generasi Muda RISDA Johor, Muhammad Azlan Abdul Razak berkata, pihaknya gembira kerana kerajaan sentiasa peka dan tidak pernah meminggirkan generasi baharu RISDA.

Menurutnya, peruntukan bernilai RM20,000 itu akan disalurkan untuk memberi manfaat kepada ahli-ahli kelab yang mana akan melibatkan usaha pengenalan kepada teknologi kebun getah dan amalan pertanian yang baik.

"Bersyukur sangat kelab kita yang ditubuhkan pada 2016 menerima pengenalan seperti ini. Ianya satu usaha yang baik daripada kerajaan kerana melihat daripada aspek lain iaitu pendedahan ilmu pertanian kepada orang muda.

“Kita akan bermula dengan pelbagai program selepas ini selain menyelitkan juga aktiviti sukan melibatkan anak-anak pekebun kecil di negeri ini,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perladangan dari Universiti Teknologi Mara (UITM) Jasin, Melaka itu.

Faridah (kiri) mewakili PWPK Kampung Pekan Air Panas, Labis menerima bantuan RM500 untuk melaksanakan sebarang program untuk komuniti wanita di kawasannya.
Faridah (kiri) mewakili PWPK Kampung Pekan Air Panas, Labis menerima bantuan RM500 untuk melaksanakan sebarang program untuk komuniti wanita di kawasannya.

Sementara itu, Pengerusi PWPK Kampung Air Panas, Labis, Faridah Adim berkata, peruntukan yang diterima pihaknya itu akan digunakan untuk meningkatkan aktiviti dan kegiatan yang dilakukan.

"Kita menerima RM500 pada majlis kali ini yang mana akan kita gunakan untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti kelab. Sebelum ini kita memang ada buat program penanaman serai untuk dijual.

"Kita juga melakukan perniagaan cili kisar, yang mana tanamannya pun kita usahakan sendiri. Jadi dengan adanya peruntukan ini boleh kami berkongsi rezeki, ada juga peruntukan untuk kita beri kepada golongan wanita yang mahu membantu ketika proses pembersihan bagi hasil tanaman yang dikutip," katanya.

KPLB salur RM 41.2 juta untuk pekebun kecil Johor

Mahdzir (tiga,kanan) menyerahkan mokcek peruntukan program pembangunan RISDA Negeri Johor kepada wakil pekebun kecil pada majlis berkenaan.
Mahdzir (tiga,kanan) menyerahkan mokcek peruntukan program pembangunan RISDA Negeri Johor kepada wakil pekebun kecil pada majlis berkenaan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan dana sebanyak RM41.2 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk mengaktifkan semula pembangunan pekebun kecil di Negeri Johor.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, peruntukan itu dijangka dapat memberi manfaat kepada seramai 18,507 pekebun kecil melibatkan tanaman hasil getah seluas 34,560 hektar di seluruh Johor.

"Daripada jumlah itu, kita peruntukkan pembangunan kawasan tanaman getah (RM24.1 juta), pembangunan produktiviti getah (RM6.7 juta), pembangunan semula hasil baru (RM2 juta), bantuan kawalan berjangkit Pestalotiopsis (RM1.2 juta) dan bantuan musim tengkujuh (RM7.1 juta).

"Segamat merupakan daerah paling tinggi menerima peruntukan ini iaitu melibatkan jumlah sebanyak RM16.9 juta memandangkan ia mempunyai jumlah pekebun kecil paling tinggi iaitu seramai 8,181 orang dengan keluasan tanaman getah seluas 14,182 hektar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Peringkat Negeri Johor yang disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kampung Paya Merah, Labis pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan bantuan kepada 13 pekebun kecil dari kawasan Labis, di sini yang telah mendapat kelulusan Peruntukan Tanaman Semula Getah.

Dalam pada itu, Mohd Salim berkata, RISDA juga telah menyediakan pelbagai perancangan pembangunan komuniti pekebun kecil yang juga akan melibatkan program-program janaan ekonomi dan keusahawanan.

Beliau berkata, RISDA juga sentiasa memandang serius isu kebajikan pekebun kecil dan tidak akan meminggirkan sesiapa yang layak termasuk golongan wanita dan anak-anak mereka.

"Bagi tujuan menggalakkan generasi muda terlibat dalam pelbagai program pembangunan getah, RISDA telah membuka penyertaan Kelab Generasi Muda Pekebun Kecil (KGMR) yang mana kita juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk KGMR di setiap negeri.

"Selain itu, di peringkat Johor, RISDA juga telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM565,800 kepada Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) untuk membolehkan kumpulan mereka ini menjalankan kegiatan atau aktiviti,” katanya.