Khairuddin sah letak jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Peletakan jawatan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) Pas adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 8(7).

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh beliau ketika dijemput menghadiri mesyuarat MSU Pas yang diadakan secara hibrid pada malam Ahad.

Tambah Mohd Khairuddin, peletakan jawatan sebagai ahli MSU juga berdasarkan peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 8(5).

“Saya dijemput menghadiri mesyuarat MSU Pas yang diadakan secara hibrid pada malam semalam (Ahad), 20 Februari 2022 jam 9 malam sebagai ahli dan Setiausaha MSU.

“Pada mesyuarat berkenaan, saya mengumumkan peletakan jawatan atau pemberhentian sebagai Setiausaha MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 8(7).

“Saya juga meletakkan jawatan sebagai ahli MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 8(5),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan pengguguran Mohd Khairuddin seperti diputuskan dalam mesyuarat Pas pusat berikutan masalah disiplin.

Abd Hadi dilaporkan berkata, Mohd Khairuddin kini hanya ahli Pas tanpa memegang jawatan tertinggi dalam parti.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Januari lalu, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.

Bagaimanapun, Mohd Khairuddin mengucapkan terima kasih kepada Pas kerana memberi peluang kepada beliau berkhidmat sebagai ahli MSU sejak 2013, seterusnya Setiausaha MSU sejak 15 Disember 2020.

“Rakaman jutaan terima kasih juga kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk H Hashim Jasin dan semua ahli MSU yang telah bertindak selaras dengan Perlembagaan Pas untuk mengelakkan sebarang krisis perlembagaan parti.

“Saya terus istiqamah menjalankan amanah sebagai ahli Parlimen Pas dan juga tugasan-tugasan lain dalam parti,” katanya.