Mekanik maut, kereta terbabas masuk parit

Kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan dan masuk ke dalam parit.
Kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan dan masuk ke dalam parit.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Seorang mekanik maut selepas kereta jenis BMW yang dipandunya dipercayai terbabas di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 Tanah Putih, jam 11.20 malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Mohd Khairol Aman Mohd Nasim, 32, dari Kampung Padang 1 di sini mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu apabila kereta dipandu hilang kawalan ke bahu sebelah kiri jalan.

“Difahamkan, kenderaan yang dipandu mangsa masuk ke dalam parit. Akibat kemalangan itu kereta mangsa mengalami kerosakan teruk.

"Ketika kejadian keadaan jalan adalah rata dan lurus dengan sistem jalan satu hala tiga lorong serta mempunyai satu lorong susur.

"Keadaan cuaca juga baik dan permukaan jalan kering manakala tahap pencahayaan gelap waktu malam dengan pancaran lampu jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Wan Mohd Zahari memaklumkan mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Katanya, mayat mangsa akan dibedah siasat selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperoleh.

Artikel Berkaitan:

“Kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.