Kuantan 188 bakal jadi lokasi wajib dikunjungi

Dr Santhara Kumar (dua dari kanan) dan Omar Naresh (empat dari kiri) menunjukkan logo baharu Kuantan 188 pada Majlis Pelancaran Jenama dan Logo Baharu Kuantan 188 di menara itu di sini pada Ahad.
Dr Santhara Kumar (dua dari kanan) dan Omar Naresh (empat dari kiri) menunjukkan logo baharu Kuantan 188 pada Majlis Pelancaran Jenama dan Logo Baharu Kuantan 188 di menara itu di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Menara ikonik, Kuantan 188 yang berdiri megah di pinggir Sungai Kuantan di sini bakal menjadi tarikan utama sektor pelancongan di daerah ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, berkata keunikan yang dimiliki menara itu dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, sebagai menara kedua tertinggi di negara ini, penjenamaan semula mercu tanda ikonik itu dengan pelbagai daya tarikan baharu mampu menjadikannya sebagai lokasi wajib dikunjungi di daerah ini.

"Antara keunikan menara ini, pengunjung boleh menikmati pemandangan indah sekitar bandar Kuantan secara 360 darjah selain pelbagai aktiviti mencabar lain yang disediakan seperti mana yang terdapat di menara-menara terkenal di luar negara.

"Selain itu, kemudahan restoran 'atas awam' yang bakal beroperasi pasti menjanjikan pengalaman baharu kepada pengunjung," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jenama dan Logo Baharu Kuantan 188 di menara itu di sini pada Ahad.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitality 360, Datuk Indera Omar Naresh Mohan dan Pengarah Urusan Kuantan 188, Datuk Zulkifli Mohamad.

Dr Santhara berkata, melalui pelbagai daya tarikan yang ada dan promosi yang dijalankan, menara itu cukup berpotensi untuk menjadi produk pelancongan utama dan dikenali seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"Apabila pintu sempadan negara dibuka kelak, kita jangkakan Kuantan 188 akan menerima kehadiran pelancong asing termasuk dari Asia.

"Selain itu, sebagai ahli rasmi World Federation of Great Towers memberi suntikan baharu dalam membawa menara ini lebih dikenali dalam kalangan pelancong antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya menyasarkan 350,000 pengunjung yang berkunjung ke Kuantan 188 tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini, 45,791 pengunjung telah berkunjung ke menara tersebut.