Tommy Thomas nafi terima rasuah ketika kendali kes anak Vincent Tan

Tan Sri Tommy Thomas
Tan Sri Tommy Thomas
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menafikan dakwaan dirinya menerima rasuah semasa mengendalikan kes jenayah melibatkan anak lelaki ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Vincent Tan.

Beliau berkata, selepas tertuduh didakwa, peguam-peguam tertuduh mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar keputusan pertuduhan dipertimbangkan semula.

"Menerima representasi daripada peguam dan tertuduh, dan mengurangkan atau menggugurkan pertuduhan selepas itu adalah perkara biasa dalam AGC.

"Surat-surat ini telah dibawa ke perhatian saya, untuk saya membuat keputusan. Setelah mengkaji representasi dan kertas siasatan (IP), mengkaji peruntukan undang-undang yang berkaitan dan perbincangan dengan pegawai kes (semua timbalan pendakwa raya), saya ingat, saya telah mengurangkan pertuduhan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, memandangkan tidak mempunyai akses kepada sebarang dokumen dan fail yang diselia oleh pihak yang menyediakan kertas siasatan, beliau tidak dapat mengemukakan sebarang perincian lanjut mengenai kes tersebut.

Tommy menegaskan, sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam, beliau tidak pernah memberi atau menerima rasuah dengan sesiapa.

"Oleh itu, saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya telah disogok semasa saya mengambil keputusan itu (pengurangkan pertuduhan).

"Secara kebetulan, saya tidak pernah mengenali Tan Sri Vincent Tan sebelum pelantikan saya. Sepanjang kerjaya profesional saya, saya tidak pernah bertindak untuknya atau banyak syarikat yang telah dia bina.

"Saya telah kembali ke Badan Peguam selama kira-kira satu setengah tahun, dan masih tidak mewakili beliau atau perniagaannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan terhadap Tommy Thomas itu dibuat di akaun Twitter Edisi Khas dalam satu hantaran pada Jumaat.

Dalam ciapannya, Edisi Khas mendakwa salah seorang anak lelaki Vincent Tan ditahan atas kesalahan dadah pada 2019 tetapi telah ditutup oleh Tommy Thomas.