Saksama Bersama tema Hari Wanita 2022

Sambutan Hari Wanita 2022 peringkat kebangsaan akan diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 6 hingga 8 Mac depan.
Sambutan Hari Wanita 2022 peringkat kebangsaan akan diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 6 hingga 8 Mac depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memilih ‘Saksama Bersama’ sebagai tema sambutan Hari Wanita 2022 yang akan disambut pada 8 Mac depan.

Unit Komunikasi Korporat KPWKM dalam kenyataan berkata, tema tersebut dipilih untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama.

Tambah kenyataan itu, ia turut memastikan potensi wanita dapat diupaya dan dioptimumkan demi menyediakan masa depan negara yang mampan.

“Tema ini juga disesuaikan dengan konsep ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’ yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara mampan dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.

“Ia selari dengan tema Hari Wanita Antarabangsa iaitu ‘Gender Equality Today For A Sustainable Tomorrow’,” kata kenyataan tersebut pada Sabtu.

Menurut KPWKM, logo tema sambutan berkenaan menggunakan dua warna iaitu merah dan biru.

“Huruf W di awal logo melambangkan perkataan wanita, dua bar di bahagian tengah dan kanan menunjukkan kesaksamaan (sama tinggi) manakala bar pada sebelah kiri menunjukkan usaha berterusan untuk mencapai kesaksamaan pada akhirnya.

“Merah melambangkan semangat keberanian dan jiwa yang kental manakala biru pula melambangkan kesetiaan dan ketegasan,” jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Sambutan Hari Wanita 2022 peringkat kebangsaan akan diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 6 hingga 8 Mac 2022 dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, KPWKM turut mengajak semua pihak agar melaksanakan program-program yang bersesuaian untuk pembangunan wanita sempena Sambutan Hari Wanita 2022 di peringkat masing-masing selari dengan tema ‘Saksama Bersama’.

“Sambutan pada kali ini akan melibatkan aktiviti-aktiviti pameran kerjaya dan peluang perniagaan yang memberi akses kepada wanita menjana pendapatan.

"Ia juga menjadi pusat setempat yang menggabungkan agensi kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat.

“KPWKM menyeru agar orang ramai dapat berkunjung ke KLCC bagi menyertai dan memeriahkan sambutan pada kali ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.