KKMM minta telco labur semula, naik taraf liputan dan perkhidmatan

Annuar Musa (dua dari kanan) beramah mesra bersama Murid Tahun Enam, Nur Arissa Khadijah Yusno Azizi, 12, (duduk) semasa melawat bilik komputer pada majlis Pelancaran PEDi Kahang Barat di Felda Kahang Barat pada Sabtu. -Foto: Bernama
Annuar Musa (dua dari kanan) beramah mesra bersama Murid Tahun Enam, Nur Arissa Khadijah Yusno Azizi, 12, (duduk) semasa melawat bilik komputer pada majlis Pelancaran PEDi Kahang Barat di Felda Kahang Barat pada Sabtu. -Foto: Bernama
A
A
A

KLUANG - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) meminta syarikat telekomunikasi melabur semula dan menaik taraf liputan serta perkhidmatan telekomunikasi supaya menjadi lebih berkualiti.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, syarikat telekomunikasi perlu lebih serius dalam perkara berkenaan untuk kepentingan pengguna.

"Saya mahu telcos (syarikat telekomunikasi) semua lebih serius untuk melabur. Tolong melabur semula, walaupun saya tahu (mereka) kena bayar dividen kepada pemegang saham dan mendapat keuntungan tinggi, tetapi tolong bersikap adil terhadap pengguna,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Zon Tengah di Felda Kahang Barat di sini, Annuar berkata, bagi tujuan itu, KKMM bercadang mengadakan perjumpaan dengan pengurusan tertinggi setiap syarikat telekomunikasi bagi perbincangan lanjut.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima daripada syarikat telekomunikasi, rangkaian liputan di Malaysia berada pada tahap 98 peratus tetapi masih terdapat pengguna mengalami masalah liputan yang teruk.

"Kita mahu tengok ada perkhidmatan yang baik daripada semua telco yang kita lesenkan. Dan saya mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat audit, semak prestasi perkhidmatan telco kerana undang-undang membolehkan kita mendenda, kompaun syarikat yang tidak memenuhi apa yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KKMM bercadang menambah sekurang-kurangnya 15 hingga 20 unit peranti di semua PEDi seluruh negara sebagai nilai tambah selain meningkatkan lagi kebolehgunaan dan penyertaan masyarakat dalam aktiviti ekonomi digital.

"Sekarang ini ada 20 komputer meja, jadi pengguna terhad kepada 20 pada satu-satu masa. Kalau ada lagi 15 hingga 20 tablet, komuniti boleh gunakan di sini atau pinjam bawa balik untuk menggalakkan mereka membuat aktiviti susulan kerana prosedur operasi standard tidak boleh ramai di dalam pusat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, Johor sudah memiliki 87 PEDi termasuk tiga PEDi baharu sedang dalam proses pelaksanaan iaitu di Kampung Pagoh di Muar, Pulau Penarek di Tangkak dan Felda Linggiu di Kota Tinggi selain 11 lagi masih dalam perancangan. - Bernama