Tikam bayi: Pertuduhan ikut proses keadilan yang telus

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertuduhan ke atas seorang kanak-kanak di Terengganu yang didakwa membunuh bayinya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah satu proses keadilan jenayah yang telus.

Tegas Jabatan Peguam Negara (AGC), ia dilakukan tanpa dipengaruhi oleh apa-apa dorongan dan berasaskan kepada keterangan semata-mata.

"Pertuduhan dibuat berasaskan keterangan saksi-saksi dan dokumentasi serta keterangan pegawai forensik dan pengesahan pakar patologi bahawa bayi yang mati itu berumur antara 38 hingga 40 minggu serta berat 2.49 kilogram semasa dilahirkan. Tali pusat telah dipotong dengan benda tajam selain terdapat kecederaan lain termasuk satu tikaman pada bahagian badan bayi tersebut," katanya.

Ujar jabatan itu, maklumat mengenai kejadian rogol hanya diketahui selepas kanak-kanak tersebut ditangkap, di mana satu laporan polis dibuat oleh kanak-kanak terbabit pada 8 Februari.

"Susulan itu satu kertas siasatan telah dibuka dan kes masih disiasat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

AGC berkata, pada ketika ini, kanak-kanak yang dituduh itu akan diadili melalui proses keadilan mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memandangkan dia adalah seorang kanak-kanak sebagaimana takrifan di bawah Akta 611.

"Jika disabitkan dengan kesalahan, kanak-kanak ini akan diperintahkan untuk ditahan di bawah Seksyen 97(2) Akta 611," katanya.

Namun begitu, kata AGC, pihak pendakwaan masih boleh meneliti dan mengkaji semula keputusan pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada pertuduhan lain setelah mengambil kira perkembangan tambahan termasuk hasil siasatan kejadian rogol.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai berkata, pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan ke atas kanak-kanak berusia 14 tahun 11 bulan itu perlu disemak semula kerana ia merupakan mangsa jenayah rogol.