Gerai Buah-Buahan Segar FAMA catat jualan RM123.8 juta

Ishak (hadapan) melihat buah-buahan di GBBS Teluk Intan semasa lawatan kerjanya.
Ishak (hadapan) melihat buah-buahan di GBBS Teluk Intan semasa lawatan kerjanya.
A
A
A

TELUK INTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM123.8 juta melibatkan 339 Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Pengerusinya Ishak Ismail berkata, ekoran daripada kejayaan berkenaan FAMA menyasarkan RM150 juta nilai jualan GBBS bagi tahun ini dalam memastikan pendapatan petani serta penjual ditingkatkan.

"GBBS diperkenalkan oleh pihak FAMA bagi mengatasi masalah lambakan buah-buahan terutamanya pada musim kemuncak seterusnya meningkatkan nilai pendapatan usahawan tempatan.

"Kalau kita lihat dari segi pendapatan usahawan GBBS ini berlaku peningkatan pendapatan antara 18 hingga 33 peratus dan ada di antara mereka yang telah mencapai peningkatan pendapatan sehingga 125 peratus apabila mengusahakan gerai berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke GBBS Teluk Intan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, pihaknya yakin GBBS mampu meningkatkan nilai jualan dan pendapatan usahawan melalui konsep keseragaman dan kebersihan kedai yang telah ditetapkan oleh FAMA.

Sementara itu, Ishak berkata FAMA akan melancarkan 14 'signature' produk tempatan menggunakan jenama Juara yang akan diketengahkan ke seluruh negara sehingga ke peringkat antarabangsa yang bakal dilancarkan pertengahan tahun ini.

"Daripada 14 produk tersebut dua daripadanya adalah daripada Perak iaitu pertama Rendang Tok yang mempunyai permintaan tinggi serta berpotensi untuk dikembangkan ke pasaran tempatan serta antarabangsa.

"Produk kedua pula adalah biskut kelapa yang menjadi tarikan utama negeri ini apatah lagi Perak terkenal sebagai antara negeri yang mempunyai tanaman kelapa seperti di Bagan Datuk," katanya.

Artikel Berkaitan: