PRN Johor: Gerakan bakal bertanding lebih dua kerusi DUN

Dominic Lau Hoe Chai ketika ditemui pengamal media selepas majlis Resepsi Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional di sini malam tadi. -Foto Bernama
Dominic Lau Hoe Chai ketika ditemui pengamal media selepas majlis Resepsi Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional di sini malam tadi. -Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Gerakan akan bertanding lebih dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan, kata Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Beliau berkata bagaimanapun, bilangan sebenar kerusi yang bakal ditandingi parti itu akan diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Februari ini.

"Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Gerakan bertanding (di Johor) satu Parlimen dan dua DUN, kali ini memang kita akan bertanding lebih daripada dua DUN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Resepsi Tahun Baharu Cina PN di sini malam tadi, yang turut dihadiri Muhyiddin dan Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Lau berkata keputusan jumlah kerusi ditandingi diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan PN dan fokus Gerakan ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan parti gabungan itu pada PRN Johor.

Pada PRU14, Gerakan yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN Pemanis dan Bukit Batu, kalah di kedua-dua kerusi.

Gerakan kemudiannya mengumumkan keluar daripada BN pada 23 Jun 2018.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 26 Feb, pengundian awal pada 8 Mac dan 12 Mac sebagai hari pengundian. - Bernama

Artikel Berkaitan: