UMNO sekarang sudah koyak rabak: Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) dan selepas merasmikan Pentas Perikatan Nasional DUN Tenggaroh PRN Johor di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3, Mersing, pada malam Rabu.
Muhyiddin (tengah) dan selepas merasmikan Pentas Perikatan Nasional DUN Tenggaroh PRN Johor di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3, Mersing, pada malam Rabu.
A
A
A

MERSING - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin menyifatkan masa UMNO sudah pun berlalu walaupun pernah mencipta sejarah pada satu masa ketika dahulu.

Menurut beliau, UMNO yang ditubuhkan di Istana Besar Johor Bahru sekarang ini berbeza sama sekali dan sudah tidak seperti dahulu.

"Itu UMNO dahulu sekarang UMNO sudah koyak rabak, UMNO sekarang sudah tidak berupaya lagi, nampak ok tapi dalaman penuh bermacam-macam barah, rasuah, salah guna kuasa dan bermacam-macam lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh PRN Johor, di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3, dekat sini pada malam Rabu.

Turut hadir Presiden Gerakan yang juga Timbalan Pengerusi PN, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, selepas Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14), UMNO adalah parti yang kalah di peringkat Pusat dan juga negeri.

Katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di peringkat pusat dan negeri selepas Bersatu serta PN mengadakan kerjasama politik tetapi kini masih mendabik dada bahawa Johor adalah kubu mereka.

"Kalau ada yang kata Johor kubu kuat UMNO...'podah', dia sudah kalah dulu (PRU14)," ujar bekas Perdana Menteri itu.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu mengakui sudah mengetahui akan ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan lagi walaupun tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Ini kerana jelasnya, pembangkang tetap menyokong kerajaan negeri Johor walaupun hanya mempunyai kelebihan satu kerusi.

"Saya tengok tidak ada masalah walaupun dengan majoriti satu kerusi. Saya lihat di Johor luar biasa kerana pembangkang pun sokong kerajaan negeri, bukan sahaja sokong Belanjawan Johor 2022 tapi sokong belia 18 tahun bertanding sebagai calon pilihan raya," katanya.

Apabila mahu membubarkan DUN kata Muhyiddin, Menteri Besar, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad langsung tidak berbincang dengannya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, PN mempunyai agenda besar untuk rakyat Johor sekiranya menang PRN Johor dan pengundi perlu memilih gabungan tersebut untuk masa depan yang cerah untuk negeri itu.

"Kita tentukan UMNO kalah lebih teruk kali ini (dalam PRN Johor). Sebab itu PN yang saya bina dengan kerjasama Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan rakan di Sabah, Sarawak... Ini adalah satu platform politik yang jauh lebih baik.

"Sebab itu slogan kita untuk PRN Johor ialah demi Bangsa Johor. PN akan usaha sedaya upaya mungkin bantu supaya Johor jadi negeri yang cemerlang dan gemilang. Rakyat Johor yang maju dan disegani," katanya.

Tambah beliau, semua calon PN akan dipastikan bersih dan tidak terlibat rasuah atau salah guna kuasa dan mereka akan mengangkat sumpah Aku Janji Anti-Rasuah seperti yang dilakukan pada PRN Melaka.

PN katanya, mahu menubuhkan kerajaan yang bersih dan sebab beliau tidak mempertahankan kerusi DUN Gambir dalam PRN Johor kerana mahu menumpukan usaha di peringkat Pusat dan jika PN menang PRU-15 berhasrat menjadi Perdana Menteri semula.