PRN: Penyandang DUN Chuah, tak tolak bertanding Bebas

Diew Ching
Diew Ching
A
A
A

PORT DICKSON - Selepas namanya digugurkan daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Datuk Michael Yek Diew Ching tidak menolak untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Beliau berkata, pertimbangan itu akan dibuat memandangkan ada dalam kalangan pengundi dan penyokongnya yang meminta beliau terus bertanding, malah ada juga nyatakan hasrat untuk menajanya.

"Walaupun sedikit terkilan kerana tidak lagi dicalonkan, tetapi sebagai ahli parti, saya terima keputusan itu dan tidak buat apa-apa kekecohan.

"Cumanya selepas nama calon Chuah pada PRN ini diumumkan, ramai yang meminta saya terus bertanding kerana mahu saya terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di situ," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ini kerana katanya, mereka tidak berpuas hati kerana calon yang ditampilkan adalah orang luar dan tidak pernah berkhidmat di kawasan terbabit malah difahamkan turut tidak aktif di kawasannya di Klang, Selangor.

Kata Diew Ching, beliau juga secara peribadi terkejut parti memilih individu berkenaan sedangkan ada lagi calon yang sememangnya telah berkhidmat lama di kawasan Chuah boleh dipilih.

"Jadi saya dalam dilema sekarang kerana memikirkan harapan pengundi Chuah kepada saya. Saya akan buat keputusan soal itu sehari dua ini.

"Ini kerana saya masih sayangkan parti dan sudah menjadi ahli lebih 10 tahun serta tidak pernah buat sebarang kekecohan malah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya keluar duit sendiri untuk bertanding," katanya.

Tambahnya, jika mahu menimbulkan kekecohan, beliau sudah lakukan pada PRU13 apabila nama orang lain diangkat sebagai calon Chuah, sedangkan selama itu beliau yang bertugas di pusat khidmat di kawasan berkenaan ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang.

Sebelum itu Sinar Harian melaporkan Diew Ching tidak menolak penggugurannya ada kaitan dengan kelantangannya mengkritik kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini.

"Kalau tak betul saya akan tegur dan ia untuk kebaikan. Malah teguran saya bukannya secara terbuka," katanya.

Pada PRU14, beliau menang dengan 6,661 undi menewaskan calon BN, Lim Chin Fui yang memperoleh 3,460 undi.