MFL lega pemilihan Johor Bahru tuan rumah aksi ACL

Skuad JDT ketika aksi pramusim di Dubai baru-baru ini. FOTO: FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Skuad JDT ketika aksi pramusim di Dubai baru-baru ini. FOTO: FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL), menyambut baik keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memilih Johor Bahru sebagai tuan rumah aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, situasi itu akan melicinkan perjalanan kalendar Johor Darul Ta'zim (JDT) termasuk tidak perlu mengubah jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga M) jika skuad Harimau Selatan perlu beraksi di luar negara.

“Komen saya.. it’s fantastic. Lagipun seperti kem latihan skuad kebangsaan, kita juga peruntukan tempoh kuarantin untuk JDT yang beraksi dalam ACL, biasanya tujuh hari jika bermain di luar negara.

“Jadi kita dapat jimat tempoh kuarantin tujuh hari untuk JDT, sekali gus dapat mengurangkan tekanan dalam kalendar perlawanan liga kita (Liga-M).

“Pada masa ini apabila JDT main ACL, liga tempatan tetap berjalan, kami tidak menghalang, sebaliknya JDT dapat bermain ikut jadual," katanya kepada pemberita di Petaling Jaya pada Rabu.

Dalam saingan ACL kali ini, JDT diundi dalam Kumpulan I bersama juara Liga Jepun Kawasaki Frontale, Guangzhou FC (China) dan pemenang perlawanan playoff antara Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dan Port FC (Thailand).

Musim lalu menyaksikan JDT menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan G - di belakang gergasi Jepun, Nagoya Grampus dan naib juara, Pohang Steelers dari Korea Selatan.

Untuk rekod, ACL 2022 merupakan penampilan keempat skuad kendalian Benjamin Mora itu selepas kali pertama mereka berentap dalam kejohanan berprestij Asia itu pada 2019.

Artikel Berkaitan: