Signifikan lawatan PM ke Brunei

Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah (kanan) berkenan mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Nurul Iman. -Foto Bernama
Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah (kanan) berkenan mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Nurul Iman. -Foto Bernama
A
A
A

SUDAH menjadi tradisi, Brunei akan menjadi di antara negara utama yang dilawati oleh mana-mana Perdana Menteri yang baharu dilantik. Ini kerana hubungan istimewa yang terjalin sejak sekian lama.

Berkongsi ras, bahasa dan budaya yang sama. Malah majoriti kedua-dua rakyat negara ini adalah berfahaman Ahli Sunnah Waljamaah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan tradisi tersebut. Beliau yang ditemani isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin mengadakan lawatan rasmi ke Brunei atas undangan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bermula Isnin dan berakhir semalam.

Dalam lawatan tersebut, Ismail Sabri diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Ini merupakan lawatan rasmi keluar negara ketiga selepas Indonesia dan Singapura setelaj dilantik sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu. Ketiga-tiga negara ini amat signifikan kepada Malaysia.

Perdana Menteri menyifatkan lawatan rasminya ke Brunei berlangsung dengan baik dan sempurna. Ia menggambarkan peri pentingnya hubungan Malaysia dengan negara Brunei Darussalam.

Banyak perkara penting yang dibincangkan dengan Sultan Brunei dalam pertemuan empat mata yang tertumpu kepada usaha dan inisiatif bagi meningkatkan lagi hubungan yang terjalin antara kedua-dua buah negara ke satu tahap yang lebih tinggi dan komprehensif.

Ketika berucap pada Majlis Santap Rasmi di Istana Nurul Iman, Ismail Sabri mengakui hubungan diplomatik yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Brunei adalah begitu istimewa sekali.

Artikel Berkaitan:

“Hubungan yang begitu erat ini telah membuka ruang kerjasama kepada kedua-dua buah negara dalam bidang yang memberi manfaat bersama meliputi perdagangan, kesihatan, pertahanan, pelancongan dan banyak lagi,” kata beliau.

Katanya, hal ini diperkukuhkan lagi dengan pencapaian yang begitu membanggakan.

Dagangan dua hala Malaysia dan Brunei meningkat sebanyak 70.4% iaitu sebanyak RM8.03 bilion pada tahun 2021 berbanding RM4.71 bilion pada 2020.

Hubungan negara bersaudara ini amat akrab. Brunei adalah antara negara terawal yang memberi bantuan ketika pandemik Covid-19 mula melanda. Sumbangan berupa kelengkapan perubatan dan kit ujian bernilai RM2 juta yang memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia.

Sultan Hassanal Bolkiah turut mengakui hubungan akrab yang sekian terjalin antara kerabat diraja mahupun kerajaan serta rakyat kedua-dua negara adalah keunikan yang unggul dari keistimewaan yang berpaksikan kesamaan agama, rumpun sejarah dan bahasa.

“Oleh itu adalah penting untuk terus menyemai hubungan yang sangat bermakna ini demi memupuk persefahaman dan silaturrahim antara kita,” titah baginda.

Kunjungan Perdana Menteri melakar beberapa kejayaan khususnya pelaksanaan koridor perjalanan antara kedua-dua negara selepas hampir dua tahun rentas sempadan tidak dibenarkan dalam usaha mengekang pandemik Covid-19.

Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan serumpun yang kuat.
Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan serumpun yang kuat.

Rentas sempadan

Persetujuan dicapai hasil perbincangan dengan Sultan Hassanal Bolkiah untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat bagi pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua buah negara.

Buat permulaan empat penerbangan seminggu antara Brunei dan Malaysia dicadangkan. Ini akan membantu pemulihan sektor pelancongan di negara kita apabila VTL dilaksanakan.

Persefahaman itu menyaksikan kedua-dua negara mengiktiraf penggunaan MySejahtera dan BruHealth bagi memudahkan integrasi sistem dan penggunaan oleh rakyat Malaysia dan Brunei.

Ia sekali gus dapat melancarkan pergerakan rentas sempadan rakyat kedua-dua negara.

Sementara itu kedua-dua pemimpin turut bersetuju meneruskan rundingan dan konsultasi untuk meneliti serta memuktamadkan cadangan projek Lebuhraya Trans Borneo yang menghubungkan kedua-dua negara.

Cadangan projek itu meliputi dua fasa iaitu fasa satu pembinaan kini pada tahap 77%, manakala fasa dua pula akan melibatkan Brunei membabitkan dua segmen.

Segmen satu adalah menaik taraf dan membina semula laluan jajaran dari persimpangan Kuala Baram di Miri ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh di Kuala Belait, Brunei sepanjang lima km yang dijangka bermula pada tahun 2023.

“Segmen dua pula adalah pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 74 km melalui Limbang dan Lawas,” kata Perdana Menteri pada sidang media di akhir lawatan rasmi dua harinya ke negara itu.

Sultan Hassanal Bolkiah (kiri) berkenan menyambut ketibaan Ismail Sabri dan isteri di Istana Nurul Iman pada Selasa. - Foto Bernama
Sultan Hassanal Bolkiah (kiri) berkenan menyambut ketibaan Ismail Sabri dan isteri di Istana Nurul Iman pada Selasa. - Foto Bernama

Malaysia dan Brunei turut sepakat supaya Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat yang dipersetujui pada 2011 diadakan pada kadar segera.

Dalam tempoh 11 tahun, hanya 87.27 km daripada 528.45 km sempadan darat atau 17% yang telah disusun serta ditanda dan daripada jumlah itu, hanya 34.15 km dimuktamadkan.

Untuk rekod, pada 2018, kira-kira 1.38 juta pelancong dari Brunei melawat Sarawak, memberi sumbangan sebanyak RM3.44 bilion.

Dengan jaringan hubungan kedua hala ini akan menarik lebih ramai pelancong serta meningkatkan dagangan dan keyakinan sektor swasta di antara kedua-dua negara.

Selain itu, hubungan dua hala ini juga amat penting bagi memastikan kestabilan di rantau ASEAN dan negara serumpun.

Persetujuan-persetujuan yang dicapai mencerminkan komitmen padu antara kedua-dua belah pihak ke arah peningkatan hubungan ke satu tahap lebih tinggi dan mantap.

Sebelum mengakhiri lawatan, Perdana Menteri sempat bertemu diaspora Malaysia di Brunei seramai 120 orang dan turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada mangsa-mangsa banjir di Malaysia.

* Azmi Tarmizi ialah Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri.