Rundingan projek Lebuhraya Trans Borneo diteruskan: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
A
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN- Malaysia dan Brunei bersetuju meneruskan rundingan dan konsultasi untuk meneliti dan memuktamadkan cadangan projek Lebuhraya Trans Borneo yang menghubungkan kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan projek itu meliputi dua fasa iaitu bagi fasa satu pembinaan kini pada tahap 77 peratus, manakala fasa dua akan melibatkan Brunei dalam dua segmen.

Lebuhraya Trans Borneo merupakan sistem rangkaian jalan raya utama yang menghubungkan Kalimantan (Indonesia), Sarawak dan Sabah (Malaysia) dan Brunei.

Ismail Sabri berkata segmen satu adalah menaik taraf dan membina semula laluan jajaran dari persimpangan Kuala Baram di Miri ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh di Kuala Belit, Brunei sepanjang lima kilometer, dijangka bermula pada tahun 2023.

"Segmen dua pula adalah pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 74 kilometer melalui Limbang dan Lawas,” katanya pada sidang media pada akhir lawatan rasminya ke Brunei.

Perdana Menteri berkata segmen dua kini dalam proses mereka bentuk serta mengambil balik tanah, yang dijangka siap dalam masa 48 bulan.

"Pelaksanaan kedua-dua projek ini akan memperkemaskan kesalinghubungan antara Malaysia dan Brunei. Tuanku Baginda Seri Sultan dan saya, bersetuju kedua-dua negara meneruskan rundingan dan konsultasi untuk meneliti dan memuktamadkan cadangan projek-projek ini,” katanya yang sebelum itu mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Ismail Sabri berkata perbincangan dengan Sultan Brunei turut sepakat, supaya Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat yang dipersetujui pada 2011 di peringkat pegawai kanan, diadakan pada kadar segera.

Beliau berkata dalam tempoh 11 tahun, hanya 87.27 kilometer daripada 528.45 kilometer sempadan darat atau 17 peratus yang telah disusun dan ditanda, dan daripada jumlah itu hanya 34.15 kilometer yang telah dimuktamadkan.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua negara bersetuju untuk menandatangani MoU bagi kawasan itu yang telah dimuktamadkan. Seterusnya, Jawatankuasa Persempadanan Darat akan bermesyuarat untuk memuktamadkan kawasan yang selebihnya dengan segera,” katanya.

Selain itu, turut dibincangkan pada pertemuan dengan Sultan Brunei adalah beberapa isu serantau antaranya situasi di Myanmar, yang membimbangkan banyak pihak baik dalam kalangan ASEAN serta masyarakat antarabangsa, serta isu berkaitan Laut China Selatan.

Perdana Menteri berkata dari perspektif Malaysia dan Brunei, ASEAN perlu terus memainkan peranan secara berkesan dan pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara amat penting dan sangat diperlukan.

Bagi isu Laut China Selatan, Ismail Sabri berkata perkara itu perlu terus diurus secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan, menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai serta berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia juga menekankan kepentingan pelaksanaan penuh dan berkesan terhadap Deklarasi Tata Laku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) secara keseluruhannya, dan kesimpulan awal bagi Kod Tata Laku di Laut China Selatan (COC).

Lawatan dua hari Ismail Sabri ke Brunei itu adalah yang pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ogos lepas.

Beliau yang diiringi isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin serta menteri pengiring Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada 6.17 petang tadi. - Bernama