AFC pilih Malaysia tuan rumah Kelayakan Piala Asia 2023

Stadium Nasional Bukit Jalil.
Stadium Nasional Bukit Jalil.
A
A
A

PEMINAT bola sepak tempatan menerima berita gembira apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), pada Khamis mengumumkan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Kelayakan Piala Asia 2023.

AFC sebelum ini mengesahkan bahawa semua perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 akan diadakan secara berpusat dan semua perlawanan mengikut format ‘single round robin’.

Langkah itu dibuat setelah mengambil kira faktor serta cabaran disebabkan pandemik Covid-19.

Enam venue berpusat telah ditawarkan kepada 24 pasukan yang bertanding dalam saingan kelayakan itu.

Selain Malaysia, lima lagi negara yang terpilih ialah India; Kuwait; Kyrgyzstan; Mongolia dan Uzbekistan.

Tiga tarikh telah ditetapkan untuk perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 iaitu pada 8, 11 dan 14 Jun 2022.

Pasukan yang akan menentang Malaysia bakal ditentukan melalui undian rasmi pada 24 Februari ini.

Pembahagian pasukan dalam balang undian adalah berdasarkan kedudukan ranking FIFA pada 10 Februari 2022.

Artikel Berkaitan:

Malaysia berada dalam balang tiga undian Kelayakan Piala Asia 2023 bersama Afghanistan; Yemen; Myanmar; Maldives dan Indonesia.

Kesemua 24 pasukan ini akan diundi dalam enam kumpulan.

Hanya juara kumpulan dan lima pasukan naib juara kumpulan terbaik akan dapat tiket beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023.

Mereka akan menyertai 12 pasukan daripada pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 yang telah mengesahkan tempat lebih awal untuk membentuk 24 pasukan terbaik bertanding di Piala Asia 2023 di China pada 17 Jun hingga 16 Julai 2023.

Untuk rekod, sebanyak 12 pasukan telah mengesahkan slot beraksi di Piala Asia 2023 dan ia melibatkan Vietnam, Syria, China, Australia, Iraq, Iran, Saudi Arabia, Oman, Japan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea and Lebanon.