China dikhuatiri ambil kesempatan krisis Rusia-Ukraine

Latihan ketenteraan antara Rusia-Belarus pada awal bulan lalu telah mengeruhkan lagi krisis antara Moscow-Kiev. - Foto: AFP
Latihan ketenteraan antara Rusia-Belarus pada awal bulan lalu telah mengeruhkan lagi krisis antara Moscow-Kiev. - Foto: AFP
A
A
A

SINGAPURA - China mungkin akan mengambil kesempatan terhadap krisis Ukraine dan melakukan tindakan provokatif di Asia ketika kuasa Barat memberi tumpuan kepada usaha meredakan ketegangan bersama Rusia.

Amaran itu dikeluarkan Jeneral Kenneth Wilsbach yang mengetuai Angkatan Udara Pasifik Amerika Syarikat (AS) setelah Beijing menzahirkan sokongan terhadap Moscow sehingga menimbulkan persoalan tentang rancangannya sendiri di rantau Asia.

“Adakah China cuba membuat sesuatu di Indo-Pasifik? Sudah tentu dan ia kini mencetuskan kebimbangan. Ia tidak mengejutkan jika mereka cuba melakukan tindakan provokasi dan melihat bagaimana tindak balas komuniti antarabangsa,” katanya kepada wartawan di luar acara Pertunjukan Udara Singapura pada Rabu.

Difahamkan, Wilsbach yang berpangkalan di Hawaii akan memainkan peranan utama jika konflik tercetus di Pasifik.

Sejak beberapa tahun lalu, Beijing telah dipersalahkan kerana mencetuskan ketegangan di rantau tersebut dengan mengukuhkan kawalan mereka ke atas pulau utama dan atol di Laut China Selatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusia pada Rabu mengesahkan latihan ketenteraan di wilayah Crimea telah berakhir dan pasukan tentera kembali ke garison masing-masing, sehari selepas ia mengumumkan langkah memanggil pulang kumpulan pertama dari sempadan Ukraine.

“Latihan taktikal mereka sudah tamat. Kereta kebal, kenderaan infantri dan artileri juga sudah meninggalkan Crimea,” ujar Kementerian Pertahanan.

Stesen TV turut menyiarkan imej unit tentera melintasi jambatan menghubungkan Moscow dengan semenanjung yang dikuasai Rusia pada tahun 2014. - AFP

Artikel Berkaitan: