Muda perlu bergerak solo untuk bawa pembaharuan

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu bergerak secara bebas dan tidak mendekatkan diri mereka dengan mana-mana parti politik agar utuh menjadi kuasa ketiga pilihan rakyat.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, langkah itu perlu kerana parti-parti politik sedia ada dalam negara ini sudah tidak selari dengan citarasa generasi masa kini.

“Secara peribadi saya lebih suka tengok Muda bergerak secara solo dan sendirian dalam dunia politik di Malaysia.

“Parti itu tidak perlu melekat dengan mana-mana parti politik kerana mereka ingin membawa pembaharuan yang sebenar untuk rakyat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya lagi, parti itu harus cuba menyusun langkah dan bergerak sendiri.

“Rakyat negara ini sudah muak dengan kewujudan parti politik lama dan penubuhan Muda diharapkan dapat memberi pilihan kepada pengundi untuk diberi kepercayaan mentadbir negara.

“Ini kerana Muda dipelopori oleh generasi muda yang memiliki idea serta matlamat baharu sesuai dengan kehendak generasi kini,” jelasnya.

Mengulas lanjut tentang kerjasama Muda dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau agak terkilan dengan perkembangan berkenaan sambil menyifatkan ia merupakan satu kesilapan besar bagi parti baharu seperti Muda.

Artikel Berkaitan:

“Muda dilaporkan akan bertanding di enam kerusi pada PRN Johor, 12 Mac ini setelah persefahaman dicapai antara DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini memaklumkan, pembahagian kerusi itu adalah bagi memastikan tidak berlaku pertindihan antara calon tiga parti berkenaan di setiap kawasan di Johor.

Enam kerusi yang akan ditandingi Muda ialah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

“Melalui persefahaman yang telah dimeterai ini, adakah ini bermakna parti Muda akan hanya fokus untuk melawan parti politik sedia ada yang lain tetapi tidak akan melawan gabungan parti politik di dalam PH?

"Sekiranya benar, maka bagaimanapula dengan kedudukan Muda itu sendiri dalam landskap politik negara kita?

"Adakah Muda akan jadi sebahagian daripada PH?" soalnya lagi.

Katanya, Muda tidak boleh membiarkan rakyat Malaysia tertanya-tanya hala tuju sebenar parti itu bagi mengelak salah faham berlaku bukan sahaja dalam kalangan ahli parti mereka sendiri malah dalam kalangan para pengundi dan seluruh rakyat Malaysia yang mahukan pembaharuan dalam landskap politik negara.