Dua rakan lemas ketika mandi air terjun

Gambar kiri: Lokasi kejadian dua rakan ditemui lemas ketika mandi di air terjun Batu Berangkai, Kampar pada Selasa. Gambar kanan: Mangsa kedua berjaya dibawa naik oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada polis. - Foto Bomba Perak
Gambar kiri: Lokasi kejadian dua rakan ditemui lemas ketika mandi di air terjun Batu Berangkai, Kampar pada Selasa. Gambar kanan: Mangsa kedua berjaya dibawa naik oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada polis. - Foto Bomba Perak
A
A
A

KAMPAR - Percutian dan perkelahan empat rakan di kawasan air terjun Batu Berangkai di sini berakhir tragedi apabila dua daripada mereka meninggal dunia akibat lemas pada Selasa.

Kejadian sekitar jam 10 pagi itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Fikri Adam Azmi, 20, dan Muhammad Amirul Hafidz Maasor, 20, sedang mandi di air terjun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian itu disedari apabila seorang daripada mangsa berada dalam keadaan terkapai-kapai di tengah lubuk air terjun itu.

Menurutnya, seorang lagi mangsa cuba untuk membantu, namun gagal sebelum turut sama-sama tenggelam.

"Dua lagi rakan mangsa yang melihat kejadian itu cuba membantu, namun hanya dapat menarik keluar seorang mangsa sahaja.

"Keadaan mangsa ketika itu sudah tidak sedarkan diri, dalam keadaan panik, rakan mangsa terus menghubungi 999 untuk meminta bantuan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat berjaya menemukan seorang lagi mangsa pada jam 11.15 pagi.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa yang beralamat dari Sabak Bernam, Selangor itu telah dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati, empat rakan berkenaan datang ke kawasan air terjun itu untuk mandi dengan menaiki motosikal.

"Semasa kejadian tiada individu lain berada di situ. Polis juga dimaklumkan bahawa kedua-dua mangsa ini tidak tahu berenang," katanya.

Dalam pada itu, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Kampar pada jam 10.34 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Mohd Hisyam Zakariah berkata, anggota terlibat memakai peranti pengapungan peribadi (PFD) untuk melakukan operasi pencarian sebelum berjaya menemui mangsa.

"Seorang daripada mangsa telah berjaya dibawa naik oleh orang awam manakala seorang lagi ditemui oleh anggota bomba ketika operasi menyelamat dilakukan pada kedalaman tiga meter.

"Operasi tamat pada jam 11.33 pagi," katanya.