'Muda bukan platform politik untuk Syed Saddiq sahaja'

Syed Saddiq pada sidang akhbar mengumumkan pencalonan Amira Aisya di kerusi DUN Puteri Wangsa dalam satu majlis di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru, pada malam Isnin.
Syed Saddiq pada sidang akhbar mengumumkan pencalonan Amira Aisya di kerusi DUN Puteri Wangsa dalam satu majlis di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru, pada malam Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penubuhan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bukan sekadar platform politik baharu untuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Syed Saddiq yang juga Presiden Muda berkata, ini kerana parti itu menawarkan pembaharuan politik selain memberi peluang kepada ramai ahli dan kepimpinan muda untuk diketengahkan dalam arena politik.

"Apabila Muda ditubuhkan, ia adalah untuk memberikan peluang kepada lebih ramai calon yang berwibawa dan berwawasan, bukan sekadar memberikan peluang kepada seorang yang telahpun dipilih di Parlimen Muar.

"Apa yang penting sekarang adalah prioriti untuk menonjolkan pimpinan Muda Johor dan bakat baharu yang sebelum ini tak diberikan peluang," katanya mengulas berkenaan khabar angin beliau akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau sebelum itu mengumumkan Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada PRN Johor dalam satu majlis di Taman Eco Cascadia di sini pada malam Isnin.

Amira Aisya, 27, anak kelahiran Kampung Melayu Majidee di sini, merupakan calon pertama diumumkan Muda untuk bertanding dalam PRN Johor sementara calon lain akan diumum selepas ini.

Pada Ahad, Syed Saddiq tidak mahu Muda dibayangi dirinya sekali gus tidak mahu Muda menjadi parti peribadi miliknya kerana hakikat sebenar ramai yang menjadi penggerak dan tulang belakang.

Berkenaan saranan UMNO Johor supaya terma pengundi muda tidak diguna pakai kerana bimbang akan dikaitkan dengan Muda sebaliknya perlu menggunakan terma pengundi baharu, beliau berkata, tiada sesiapa yang memaksa anak muda untuk memilih Muda.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Muar itu menjelaskan, itu hak golongan tersebut berbuat demikian dan Muda tidak terbatas untuk orang muda dan bukan sekadar pada nama sahaja kerana ideologi, perjuangan dan pembaharuan yang ingin dibawakan lebih daripada itu.

"Secara jujurnya fokus kami bukan perkataan, fokus kami politik nilai dasar dan khidmat yang jauh lebih penting.

"Kalau kita bicarakan soal 'wording' tetapi hilang integriti maruah dan fokus kepada pembaharuan dasar, itu lagi susah. Itu pandangan dia (UMNO Johor) dan saya hormati tapi Muda fokus kepada yang lebih teras," katanya.