'Pelanggan restoran mamak jangan asyik nak marah saja'

Gambar hiasan - Foto Awani
Gambar hiasan - Foto Awani
A
A
A

MERAK Jalanan boleh dikategorikan sebagai pelanggan setia restoran mamak kerana boleh dikatakan hampir setiap hari akan menikmati hidangan di restoran tersebut.

Sarapan bersama kawan-kawan tidak akan lengkap jika tidak menikmati roti telur bawang, teh tarik dan telur separuh masak.

Servis juga pantas. Kadang-kadang belum sempat nak duduk lagi pelayan yang mesra dengan panggilan universal Anne, sudah senyum tahu apa makanan kegemaran Merak Jalanan.

Tapi sejak kebelakangan ini, restoran mamak tidak lagi mampu memberikan servis pantas. Tiada lagi Anne yang menunggu di meja sebaliknya Merak Jalanan terpaksa memanggil mereka beberapa kali untuk membuat tempahan.

Makanan yang ditempah juga lambat tidak seperti sebelum ini. Merak Jalanan perhatikan meja-meja juga tidak sempat dikemas oleh pekerja.

Semuanya berpunca daripada masalah kekurangan pekerja di restoran dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

Pekerja asing yang pulang ke negara asal mereka tidak dapat kembali ke Malaysia, manakala rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja di restoran mamak.

Terdapat restoran yang tidak dapat beroperasi disebabkan isu pekerja kerana majoriti restoran mamak mengutamakan servis yang pantas.

Artikel Berkaitan:

Seorang pemilik restoran mamak mengadu kepada Merak Jalanan akan kepayahan yang dialaminya disebabkan masalah pekerja.

Dia kerap kali berfikir mahu menutup sahaja perniagaan kerana jumlah pekerja yang ada tidak mampu memenuhi jumlah pelanggan yang datang ke restorannya setiap hari.

Kerap juga katanya pelanggan yang sudah terbiasa dengan servis pantas tidak dapat menerima hakikat pemilik restoran tidak mampu melayan pelanggan seperti sebelum ini.

Katanya, pelanggan asyik nak marah dan naik angin apabila Anne lambat mengambil pesanan dan makanan lambat dapat.

Harapannya isu itu dapat diselesaikan segera supaya keadaan akan kembali seperti sebelumnya.