Khairuddin senarai lima Budaya Politik Matang dan Sejahtera Pas

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyenaraikan lima Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diamalkan oleh Pas dan boleh ditawarkan kepada rakyat Johor.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menjelaskan, pertamanya ialah kejayaan Pas sepanjang bersama kerajaan persekutuan menerusi lima menteri dan timbalan menteri serta anak syarikat yang diterajui oleh ahli-ahli Parlimen parti itu.

“Kedua, kejayaan Pas menerajui Kelantan sejak 1990 dengan penekanan kepada konsep Ubudiyah Mas’uliyah Itqan dalam pentadbiran negeri sehingga terselamat daripada sebarang isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Ketiga, kejayaan Pas mengemudi Terengganu dalam masa empat tahun sejak 2018 dengan pelbagai pakej program menjurus kepada khidmat rakyat marhaen,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini dilapor mengumumkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditetapkan pada 26 Februari ini manakala undi awal pada 8 Mac depan manakala pembuangan undi pula 12 Mac.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, perkara keempat adalah tentang kejayaan Pas menjayakan pelbagai projek pelaburan baharu di negeri Kedah ke arah memperkasakan ekonomi kerajaan dan rakyat di negeri itu.

“Perkara kelima, kejayaan Exco Pas dalam kerajaan negeri Perak walaupun hanya dengan tiga Exco,” ujarnya.

Beliau dalam masa yang sama turut menyatakan bahawa Pas mempunyai terlalu banyak bahan kempen untuk dipasarkan kepada rakyat menerusi agenda politik matang.

Artikel Berkaitan: