Lesen syarikat cetak ditarik selepas buka bengkel haram

Syarikat cetak yang dikenakan tindakan selepas menjalankan aktiviti bengkel haram di belakang premis.
Syarikat cetak yang dikenakan tindakan selepas menjalankan aktiviti bengkel haram di belakang premis.
A
A
A

GOMBAK - Pemilik sebuah syarikat percetakan di Taman Sunway Batu Caves di sini berputih mata selepas lesen perniagaannya ditarik oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada Isnin.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, syarikat tersebut didapati melanggar syarat lesen perniagaan selepas didapati membuka bengkel kenderaan berat secara haram di lorong belakang premisnya.

Menurutnya, selain lesen perniagaan ditarik, syarikat tersebut turut dikenakan kompaun keseluruhan sebanyak RM1,500.

"Kompaun RM1,000 dikenakan atas kesalahan melanggar syarat lesen manakala tambahan RM500 dikenakan kepada pemilik syarikat tersebut kerana aktiviti bengkel itu telah menyebabkan kekotoran, halangan dan kacau ganggu kepada orang awam.

"Penguatkuasaan yang dijalankan ini adalah di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Seksyen 3 Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kenderaan berat diletak dibahu jalan telah menyebabkan halangan.
Kenderaan berat diletak dibahu jalan telah menyebabkan halangan.

Katanya, dalam operasi sama, MPS turut mengenakan kompaun RM500 dan menarik lesen perniagaan sebuah bengkel membaiki kenderaan berat di lokasi sama kerana meletakkan lori dan bas di bahu jalan.

"Tindakan tersebut telah menimbulkan bahaya dan kacau ganggu kepada pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.

Artikel Berkaitan:

"MPS mengingatkan kepada pemilik perniagaan agar sentiasa mematuhi syarat-syarat lesen perniagaan bagi mengelak dikenakan tindakan," katanya.

Pada perkembangan sama katanya, MPS telah mengeluarkan kompaun kepada pemilik lori (muatan berat) yang meletakkan kenderaan di kawasan kediaman.

"Tindakan penguatkuasaan ini dibuat selaras dengan UUK Taman Seksyen 7(1) yang melarang kenderaan berat melebihi dua tan diletakkan di kawasan taman," katanya.