'Desak naik gaji minimum bukan langkah tepat'

Baljit
Baljit
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Tindakan mendesak kerajaan menaikkan gaji minimum bukan satu langkah tepat berikutan akan mengakibatkan berlaku masalah inflasi yang lebih meruncing di negara ini.

Naib Presiden Gerakan, Baljit Singh berkata, sekiranya gaji ditingkatkan, ia akan meningkatkan harga barangan sekali gus menyebabkan kos kehidupan yang tinggi.

"Cadangan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 pada tahun ini dikhuatiri akan mengakibatkan berlaku masalah inflasi yang lebih meruncing. Ini kerana, mengikut Bank Negara Malaysia (BNM), Indeks Harga Pengguna Malaysia telah meningkat 3.2 peratus pada suku keempat tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

"Bagi 2021, inflasi purata ialah 2.5 peratus berbanding deflasi sebanyak 1.2 peratus pada 2020, jadi kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 akan menyebabkan berlaku masalah inflasi yang lebih besar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, gaji yang lebih tingi hanya akan memacu harga barangan menjadi lebih tinggi.

"Gaji yang tinggi akan menyebabkan berlaku lonjakan kos sebenar, berpunca daripada keadaan yang tidak sekata dalam penawaran dan permintaan. Sehubungan itu, majikan perlu mencari jalan penyelesaian untuk membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat kepada pekerja mereka.

"Ada beberapa perkara yang dilihat boleh diambil oleh majikan antaranya menawarkan subsidi makanan kepada kakitangan yang bekerja dari rumah. Ini kerana bekerja dari rumah menjimatkan kos penggunaan pejabat seperti elektrik dan air," katanya.

Baljit berkata, campur tangan dari pihak BNM dan Kementerian Kewangan dilihat amat perlu untuk memastikan kos produk dan perkhidmatan dapat diturunkan dengan segera.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga tidak seharusnya mempertimbangkan kadar kenaikan harga buat masa ini sehingga kadar inflasi dikawal.

"Ini kerana, ia akan menambah lagi beban kepada rakyat yang sedia terbeban," katanya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 sekarang dan tidak menunggu sehingga akhir tahun 2022.

MTUC berkata, kerajaan sepatutnya membuat semakan selaras dengan Akta Gaji Minima yang mengkehendaki kajian perlu dibuat atas gaji minimum.

Bagaimanapun, ketika ini, Majlis Perundingan Gaji Negara dalam proses penyediaan Kertas Jemaah Menteri untuk mengemukakan syor berhubung kadar gaji minimum kepada Kabinet berdasarkan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2020.