Segera laksana kadar gaji minimum baharu

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Penetapan kadar gaji minimum baharu sekitar RM1,500 perlu dilaksanakan dengan segera susulan keadaan ekonomi negara yang dibelenggu dengan peningkatan kos sara hidup.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cadangan untuk kenaikan gaji minimum adalah bertepatan bagi mengurangkan beban terhadap golongan berpendapatan rendah yang terkesan akibat kenaikan kos termasuk kenaikan harga barangan.

"Kita sedia maklum inflasi dan kos sara hidup yang meningkat itu juga harus ditangani dengan peningkatan gaji oleh pekerja-pekerja terutama sektor swasta dan sektor industri.

"Dari segi kajian, kita lihat sektor berkenaan paling kurang kenaikan gaji, justeru saya amat mengalu-alukan kenaikan gaji minimum ini dapat dilaksanakan dengan segera dan tidak perlu lagi menunggu untuk menaikkan gaji minimum tersebut," katanya.

Tambahnya, kenaikan gaji minimum itu juga akan memikat lebih ramai golongan anak muda untuk bekerja dalam sektor swasta dan perindustrian.

"Majikan atau pihak industri juga perlu bersedia untuk menaikkan gaji pekerja mereka sekali gus ia dapat menarik lebih ramai tenaga kerja tempatan terutama anak-anak muda untuk terlibat dalam industri berkenaan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan memaklumkan kadar gaji minimum baharu sekitar RM1,500 sebulan itu dijangka dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.

Jelas Saravanan walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, namun beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Artikel Berkaitan:

Secara peribadi beliau merasakan kadar gaji minimum baharu itu perlu diselesaikan secepat mungkin tetapi bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri.