Segera bawa masuk lebih ramai pekerja asing: MEF

Shamsuddin Bardan
Shamsuddin Bardan
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa agar kerajaan segera membawa masuk lebih ramai pekerja asing dalam usaha menangani masalah kekurangan tenaga kerja terutama dalam sektor perladangan dan perkilangan.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ini kerana tidak ramai pekerja tempatan mahu mengambil alih tugas tersebut dan kebanyakan hanya dilakukan oleh pekerja asing.

Menurutnya, jika perkara itu tidak dapat diatasi segera maka ia akan menjejaskan lagi sumber pendapatan ekonomi negara.

“Untuk jangka masa pendek amat penting untuk kita membawa masuk pekerja asing dengan segera bagi menampung keperluan pada masa kini. Sebagai contoh di sektor perladangan, mereka mengalami banyak kerugian kerana buah sawit yang sudah masak kalau tidak dituai akan lebih buruk dan terbuang begitu saja.

“Selain itu, kita juga dapat melihat banyak restoran masih lagi belum dibuka, malah ada yang terpaksa ditutup sepenuhnya kerana tidak ada pekerja terutama pekerja tempatan mahu bekerja di bahagian perkhidmatan makanan dan minuman (F&B).

“Sama juga di sektor perhotelan. Walaupun kerajaan sudah membenarkan aktiviti pelancongan di dalam negeri tetapi kita kekurangan pekerja untuk mengemas bilik dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Bagaimanapun, untuk jangka masa panjang, Shamsuddin berkata, ia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pekerja asing kerana negara perlukan perubahan terutama dari segi penggunaan teknologi moden.

Beliau berkata, ia memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran yang lebih tinggi untuk menceburi bidang tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kita perlu utamakan kepada pekerja tempatan untuk terlibat dalam bidang tersebut. Bila mereka mempunyai kemahiran ini, sudah tentu majikan akan membawa masuk peralatan teknologi yang lebih canggih.

“Ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dengan lebih pesat, sekali gus membolehkan Malaysia bersaing dengan negara-negara membangun yang lain,” jelasnya.