PRN Johor: UMNO akui cabaran pikat pengundi 18 tahun

Mahdzir (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Taman Desa Pudina, PPK Kubang Kenyeng, Kuala Nerang pada Ahad.
Mahdzir (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Taman Desa Pudina, PPK Kubang Kenyeng, Kuala Nerang pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERANG - UMNO mengakui masih belum dapat mengenali sepenuhnya sikap dan kecenderungan sokongan pengundi berumur 18 tahun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihaknya bagi meraih sokongan kelompok tersebut yang pertama kali membuang undi.

Menurutnya, cabaran untuk memikat hati pengundi 18 tahun itu bukan sahaja dirasai oleh UMNO tetapi juga oleh semua parti politik yang bertanding.

"Sebenarnya cakap mengenai undi 18 adalah suatu yang di luar daripada jangkaan parti politik di Malaysia, bukan sahaja UMNO tapi semua parti politik sedang membuat pelbagai usaha untuk mendekati pengundi 18 tahun dengan melakukan pelbagai usaha.

"Cumanya semua masih tak berapa tahu macam mana sikap mereka, (sokongan) kepada parti politik, terhadap mengundi, ini pertama kali. Kita tidak tahu lagi macam mana 'pattern' (corak) dia.

"Dia nak sokong siapa, dia tak sokong siapa, dia nak bagi undi dekat siapa dan macam mana mereka nak ambil benda tu (tentukan sokongan), saya ingat lepas pilihan raya ini baru kita tahu," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Taman Desa Pudina, PPK Kubang Kenyeng pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesan pelaksanaan Undi 18 kepada UMNO di PRN Johor.

Jelasnya, PRN Johor adalah pilihan raya biasa dan bukan medan ujian untuk melihat bentuk sokongan golongan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada penghujung Oktober tahun lalu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Undi 18 akan dilaksanakan bermula Januari ini seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak.

Beliau berkata, Kabinet membuat keputusan tidak merayu keputusan berkenaan walaupun sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa persediaan ke arah pelaksanaannya hanya boleh dibuat menjelang September tahun hadapan.