Keahlian Siti Nora belum capai setahun

Jasri Jamaludin
Jasri Jamaludin
A
A
A

KUANTAN - Tempoh keahlian Siti Nora Mohamad Noor yang belum mencapai setahun menyebabkan beliau tidak layak bertanding jawatan Ketua Srikandi pada Mesyuarat Pemilihan Parti Bersatu Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 29 November tahun lalu.

Ketua Bahagian Bersatu Maran, Datuk Datuk Jasri Jamaludin berkata, disebabkan itu, Siti Nora hanya dilantik sebagai ahli Bersatu bukan seperti yang didakwanya.

Menurutnya, watikah ketua Srikandi Bahagian Maran yang tertera nama Siti Nora itu adalah Ketua Srikandi Maran berstatus penaja.

"Status penaja bukan jawatan yang berterusan kerana selepas didaftarkan, jawatan tersebut perlu dipertandingkan dan dipilih oleh ahli jawatan kuasa dalam mesyuarat pemilihan.

"Namun, pada ketika itu Siti Nora tidak layak untuk bertanding kerana keahliannya masih belum mencapai 12 bulan memandangkan beliau mula menjadi ahli Bersatu pada April 2021. Siti Nora pada ketika mesyuarat pemilihan itu memahami kenapa beliau tidak boleh bertanding," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Ahad pagi, Siti Nora dalam satu aplikasi WhatsApp mengeluarkan satu kenyataan menerusi video berdurasi 1.09 saat mendedahkan pelantikannya sebagai Ketua Srikandi Bahagian Maran dan masih menyimpan watikah pelantikan itu.

Pada Rabu lalu, Siti Nora telah mengetuai 31 individu lain mendakwa sebagai ahli Bersatu Bahagian Maran telah menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO kepada Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas umum keluar parti itu.

Siti Nora juga mendakwa kira-kira 100 ahli Bersatu Bahagian Maran juga dijangka akan mengambil langkah sama dan sayap Srikandi Maran turut didakwa terbubar.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut termasuk tindakan Siti Nora yang mengaku sebagai Ketua Srikandi ketika menyerah borang keahlian UMNO mereka kepada Wan Rosdy.

Jasri mendakwa tindakan yang dilakukan Siti Nora itu mungkin dipengaruhi oleh orang luar yang mungkin mempunyai motif tertentu.

"Sebagai Ketua Bersatu Bahagian Maran saya akan berbincang bersama jawatan kuasa apakah tindakan seterusnya yang akan kita ambil sama ada untuk mengambil tindakan saman atau sebaliknya," ujarnya.