Pas kena cermin diri: Nur Jazlan

NUR JAZLAN
NUR JAZLAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO Johor membidas kenyataan Pengarah Pilihanraya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa kerajaan hanya akan stabil jika UMNO tidak lagi jadi pemerintah.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan kenyataan yang dibuat Menteri Besar Kedah itu disifatkan sebagai tak sedar diri dan meminta pemimpin Pas itu cermin diri sebelum menuduh UMNO.

Menurutnya, rekod sudah terbukti bahawa baharu satu penggal Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas menjadi kerajaan, negara sudah menjadi huru hara.

"UMNO sudah ada 'track record' cemerlang lebih 60 tahun mentadbir negara sehingga Malaysia menjadi sebuah negara maju di Asia Tenggara.

"Tapi bila PH menjadi kerajaan, keadaan negara terus tak stabil dan banyak masalah. Keadaan lebih teruk bila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas bersama PN pula mentadbir Malaysia, hanya episod kegagalan yang boleh dicatatkan.

"Siapa yang sebenarnya menjadi punca kepada ketidakstabilan Malaysia sekarang ini," soalnya.

Pada Sabtu, Muhammad Sanusi ketika merasmikan Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya PN Kawasan Pulai berkata, kestabilan dalam pemerintahan negara haruslah mempunyai kesepakatan tetapi BN khususnya UMNO dilihat terus menjadi pihak yang mencetuskan perbalahan itu.

Sebaliknya, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai ibarat 'pulang paku buah keras' kepada Muhamad Sanusi dengan menyifatkan pemimpin Pas yang dilantik menjadi menteri dalam kerajaan juga semuanya didakwa gagal dalam melaksanakan tugas.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pemimpin Pas tidak layak untuk bercakap tentang kecekapan pentadbiran kerana parti itu sendiri selama 30 tahun gagal untuk membawa perubahan besar sepanjang memerintah Kelantan.

"Saya nasihatkan pemimpin Pas agar melihat diri di cermin dulu sebelum nak mengata orang lain.

"Rekod mereka sepanjang perintah Kelantan pun tak ada yang boleh dibanggakan. Bila dilantik jadi menteri kabinet pun mereka gagal berfungsi dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut menyangkal dakwaan Muhammad Sanusi yang menuduh UMNO menjadi punca berlakunya beberapa siri Pilihanraya Negeri (PRN).

Menurut beliau, pemimpin Pas itu perlu membuat 'homework' sebelum membuat sebarang kenyataan supaya tidak dicop sebagai kurang cerdik.

"PRN Sabah berlaku kerana Bersatu yang bernafsu untuk menguasai negeri itu dan memulakan langkah menyingkirkan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.

"PRN Melaka pula berpunca daripada empat ADUN daripada UMNO, Bersatu dan Bebas yang dikatakan menerima tawaran dari PH untuk menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka.

"PRN Johor pula perlu diadakan kerana kedudukan kerajaan negeri amat tak stabil sehingga mengganggu kelancaran pentadbiran," ujarnya.

Jelas beliau lagi, kerajaan PH, PN dan Pas pun ditubuhkan dengan kerjasama bekas pemimpin UMNO selepas menikmati habuan dan menikam UMNO kerana tamak kuasa tapi gagal memerintah dengan baik.